GAYA HIDUP

Sambutan Tahun Baharu Cina: Adat, Tradisi Tetap Subur

15/02/2026 01:52 PM

Oleh Wartawan Bernama Lifestyle

KUALA LUMPUR, 15 Feb (Bernama) -- Hidup pada era moden yang serba pantas, tradisi sambutan Tahun Baharu Cina masih utuh dipelihara dalam kebanyakan keluarga masyarakat Tionghoa di negara ini justeru membuktikan bahawa nilai warisan tetap relevan meskipun zaman berubah.

Pelakon Remon Lim atau Lim Mee Fung mengakui bahawa persiapan dan suasana perayaan kini sememangnya berbeza berbanding zaman kanak-kanaknya namun larangan serta adat tetap diterapkan.

“Hari pertama tidak boleh menyapu rumah. Tidak boleh pakai baju hitam, putih atau warna yang tidak meriah. Saya juga masih pegang dengan larangan untuk tidak potong rambut pada hari perayaan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Majlis Sumbangan kepada Artis-Artis Veteran Tanah Air Sempena Perayaan Tahun Baharu Cina 2026 di sini baru-baru ini. 

Wanita berusia 62 tahun itu turut meluahkan rasa sayu apabila mood atau suasana perayaan dirasakan semakin pudar lebih-lebih lagi apabila banyak persiapan tradisional tidak lagi dilakukan bersama-sama keluarga.

pic-2

Menurutnya jika dahulu ahli keluarga menyediakan kuih-muih sendiri serta bergotong-royong membersihkan rumah menjelang perayaan, kini ramai yang memilih untuk membeli atau menggunakan khidmat luar sekali gus mengubah suasana hangat sambutan yang pernah dialaminya suatu ketika dulu.

Menceritakan kenangan paling manis pada malam ambang Tahun Baharu Cina, pelakon yang terkenal dengan drama Cheongsam Merah Darah itu berkata beliau dan ahli keluarga akan berjaga hingga lewat malam sebagai sebahagian daripada amalan tradisi.

“Amalan berjaga hingga awal pagi itu dipercayai membawa doa kesejahteraan serta umur panjang kepada ibu bapa namun tradisi berkenaan saya tidak buat lagi sekarang sebab umur pun dah 62 tahun,” katanya sambil menambah kenangan itu cukup berharga.

pic-3

Sementara itu, pelakon Eric Chen berkata meskipun sambutan sekarang lebih sederhana kerana faktor usia dan perubahan gaya hidup, semangat Tahun Baharu Cina tetap dipelihara melalui tradisi seperti pemberian angpau.

“Dulu memang sangat meriah. Sekarang agak sunyi sebab ramai keluarga saya sudah berkeluarga dan tinggal berasingan tetapi adat angpau masih diteruskan. Ini tanda kasih sayang dan penghargaan dalam keluarga,” katanya.

Eric yang kini berusia 61 tahun berkata antara kenangan yang kekal hingga kini ialah tradisi makan besar pada malam ambang Tahun Baharu Cina selain pertemuan tahunan bersama rakan-rakan lama untuk menikmati hidangan yee sang yang diamalkan sejak dahulu.

Pelakon filem Gayong itu berkata selain kemeriahan sambutan, perkara paling utama yang diharapkan setiap kali Tahun Baharu Cina ialah kesejahteraan dan kesihatan ahli keluarga, selari dengan nilai sebenar perayaan yang menekankan kebersamaan serta penghargaan terhadap insan tersayang.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2524303