GAYA HIDUP

200 Hidangan Tarikan Bufet Ramadan Concorde Hotel

15/02/2026 03:29 PM

Oleh Wartawan Bernama Lifestyle
 

KUALA LUMPUR, 15 Feb (Bernama) -- Concorde Hotel di sini menawarkan kira-kira 200 hidangan menerusi bufet Ramadan “Bila Rasa Berbicara” di Melting Pot Cafe dengan tarikan utama penggunaan ketuhar arang Josper dari Sepanyol.

Penggunaan ketuhar arang itu memberi sentuhan moden kepada hidangan terpilih sekali gus menggabungkan elemen warisan dan teknik kontemporari dalam pengalaman berbuka puasa.

Bufet itu turut mengetengahkan dua set menu berbeza yang disajikan secara bergilir setiap dua hari bagi memastikan pelanggan menikmati variasi hidangan jika berkunjung lebih daripada sekali sepanjang Ramadan.

pic-2

Ketua Tukang Masakan Melayu Mohamad Yusoff Abdul Hamid berkata konsep tahun ini mengekalkan menu kegemaran pelanggan Ramadan lepas selain menambah elemen baharu bagi memperkaya pilihan.

“Beberapa elemen baharu ditambah ialah sajian potongan daging secara langsung menggunakan ketuhar arang Josper dan hidangan Jepun. Kita mahu memastikan pengunjung menikmati lebih banyak pilihan hidangan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

pic-3

Mohamad Yusoff berkata penggunaan ketuhar arang Josper memberi aroma asap lebih pekat dan membolehkan pelanggan menyaksikan sendiri proses penyediaan serta potongan daging secara langsung manakala jenis arang digunakan membantu menghasilkan rasa lebih seimbang tanpa kesan hangit.

Beliau yang berpengalaman lebih 40 tahun dalam bidang kulinari berkata juadah warisan yang disajikan antaranya gulai tunjang masak lemak cili api, pucuk paku masak ikan bilis, sambal tumis udang petai, asam pedas tetel dan siput sedut masak lemak.

pic-4

Selain itu, pelbagai pencuci mulut disediakan termasuk onde-onde dan popiah berinti ais krim kacang, selain ABC Ais Kacang dan tau foo fah, dengan kira-kira 40 kru dapur terlibat sepanjang Ramadan.

Bufet “Bila Rasa Berbicara” ditawarkan pada harga RM198 seorang dengan kadar istimewa RM178 seorang pada tarikh terpilih, iaitu 19 hingga 22 Feb dan 18 hingga 20 Mac manakala kanak-kanak berusia enam hingga 11 tahun menikmati diskaun 50 peratus.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2524335