Oleh Wartawan Bernama Lifestyle
GUA MUSANG, 11 Feb (Bernama) -- Meskipun baru berusia belasan tahun, Loo Yu Jie dan Chong Jia Eng, dua gadis remaja dari jajahan ini, sedar akan kepentingan melestarikan legasi nenek moyang mereka agar tidak pupus ditelan zaman.
Mengangkat tarian kipas sebagai legasi pilihan, Loo, 16 dan Chong, 14, memanfaatkan masa luang mereka untuk mempelajari seni tarian itu selain mempromosikannya kepada generasi muda setempat.
Loo yang meminati tarian itu sejak di bangku sekolah rendah, berkata dia turut menggunakan masa lapang untuk mempelajari teknik baharu serta memperhalus gerakan yang telah dipelajari di bawah bimbingan pengurus pasukan.
"Saya turut mempelajari gerak tarian ini melalui media sosial seperti Instagram, Youtube dan TikTok, malah saya dan Chong juga mempunyai pengurus pasukan untuk memberi bimbingan agar teknik serta disiplin terjaga.
pic-2
"Sesi latihan biasanya dijalankan di pekarangan tokong dan kekerapannya bergantung kepada persembahan yang akan dibuat. Biasanya kami membuat persembahan di majlis komuniti dan sambutan perayaan Tahun Baharu Cina,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Baru di sini baru-baru ini.
Chong pula berkata dia kini menyedari dan memahami tarian kipas bukanlah satu hiburan semata-mata tetapi membawa maksud yang cukup mendalam.
"Tarian ini membawa maksud keharmonian, kegembiraan serta doa kesejahteraan yang sering dipersembahkan ketika musim perayaan," katanya yang mendapat sokongan daripada keluarga untuk meneruskan minat terhadap seni itu.
pic-3
Sementara itu, Pengurus pasukan tarian Liew Koon Yan berkata tarian kipas membawa maksud keseronokan untuk menyambut ketibaan tahun baharu.
"Tahun baharu bermaksud kita akan beralih dari musim sejuk ke musim bunga dan pergerakan kipas itu sendiri simbol kepada peralihan dua musim tersebut. Jadi, kita gambarkan kemeriahan kedatangan musim bunga pada tahun baharu dengan rasa gembira serta seronok," katanya.
Liew yang aktif dalam tarian tradisional itu sejak 1998, berkata kumpulan tarian kipas biasanya seramai empat hingga 10 penari.
"Golongan muda perlu belajar tarian tradisional ini supaya dapat meneruskan legasi dan menghidupkan budaya kaum yang berbilang bangsa di negara ini," katanya.
-- BERNAMA