GAYA HIDUP

Pameran Naratif: Mencipta Masa Depan Melalui Rekaan Tekstil Berlangsung Hingga 31 Mei

15/02/2026 03:20 PM

Oleh Wartawan Bernama Lifestyle

KUALA LUMPUR, 15 Feb (Bernama) -- Pameran “Naratif: Mencipta Masa Depan Melalui Rekaan Tekstil” anjuran Jabatan Muzium Negara (JMM) berlangsung di Galeri Saindera, Muzium Tekstil Negara sehingga 31 Mei.

Karya tekstil sentuhan kreatif 16 penuntut Program Sarjana Muda Kepujian Seni Reka Teknologi Tekstil, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Universiti Teknologi MARA (UiTM) mempamerkan tekstil sebagai medium dinamik yang merapatkan tradisi, kemampanan dan amalan kontemporari melalui eksperimen bahan, inovasi permukaan dan naratif rekaan.

Pameran itu bukan sahaja mempamerkan hasil kreatif dan konseptual dalam meneroka tekstil sebagai karya seni ekspresif malah turut mengetengahkan tafsiran semula teknik kreatif tekstil, khususnya batik, tenunan serta percetakan konvensional dan digital.

pic-2

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JMM Mohamad Shawali Badi berkata tekstil bukan sekadar material atau produk pemakaian, sebaliknya simbol identiti, sejarah dan nilai budaya yang merentas kaum serta generasi sekali gus berperanan sebagai medium penyatuan masyarakat.

“Apabila warisan ini diterjemahkan ke dalam bentuk reka bentuk kontemporari, ia menggambarkan kesinambungan antara akar tradisi dengan aspirasi masa depan, iaitu pendekatan yang menyokong pembinaan masyarakat yang bersatu padu, inklusif dan berdaya saing,” katanya ketika merasmikan pameran itu di sini hari ini. 

Beliau berkata Kerajaan MADANI melalui Kementerian Perpaduan Negara sentiasa menggalakkan pelaksanaan program bersifat inklusif selaras dengan usaha memperkukuh perpaduan nasional melalui pemeliharaan, penghayatan dan pemerkasaan warisan budaya sebagai medium penyatuan masyarakat.

pic-3

Sementara itu, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Akademik) Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM Profesor Madya Dr Zainuddin Ibrahim berkata kepentingan pendidikan seni reka tekstil masih relevan dan perlu terus diketengahkan, terutamanya dalam konteks global masa kini.

“Tekstil bukan sekadar bahan tetapi pembawa budaya, penyumbang ekonomi dan inovasi. UiTM berbangga sebagai satu-satunya universiti tempatan menawarkan program mengekalkan keseimbangan teliti antara teknik tekstil tradisional seperti tenunan, batik, cetakan dan hasil seni reka tekstil kontemporari sejajar dengan keperluan industri.

“Keseimbangan ini memastikan pengetahuan warisan terpelihara manakala inovasi dan kemampanan kekal sebagai teras kepada amalan masa depan graduan kami,” katanya.

Pengunjung berpeluang melihat sendiri karya dibangunkan sebagai karya seni tekstil kendiri bersama-sama reka bentuk yang bertujuan untuk aplikasi fesyen, dalaman dan gaya hidup, mencerminkan orientasi dwi kreatif dan komersial.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2524300