AM

Sarawak Cadang Pemberian Khas Berdasarkan Peratusan Hasil Negeri

13/02/2026 10:05 PM

KUCHING, 13 Feb (Bernama) -- Sarawak mencadangkan supaya jumlah pemberian khas kepada negeri itu di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan ditentukan berdasarkan peratusan hasil yang dijana negeri, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata kerajaan negeri akan mencadangkan satu formula baharu bagi geran berkenaan supaya pemberian itu berpandukan jumlah pendapatan negeri, khususnya berasaskan kutipan cukai, selain bersifat fleksibel mengikut prestasi hasil semasa.

“Kita cadangkan supaya sebagai contoh, beri balik kepada Sarawak dalam 20 peratus daripada pendapatannya. Kalau pendapatan banyak, berilah banyak, kalau kurang, beri sedikit. Jumlahnya fleksibel, supaya Kerajaan Persekutuan boleh pertimbangkan.

“Sekarang ini (jumlah dana), tidak mencukupi. Kita buat rumah, jambatan, pusat kanser dan semua kita tanggung sendiri … tetapi, memandangkan Sarawak ada rezeki sikit, kita tidak bergantung 100 peratus pada orang lain (Persekutuan),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Spektra Permata (RSP) Skim Pembesaran Kampung (SPK) Santubong, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata pendekatan berasaskan peratusan hasil lebih adil memandangkan kerajaan negeri kini menanggung sebahagian besar kos pembangunan menggunakan sumber kewangan negeri.

“Waktu ini Sarawak ada rezeki, apa salahnya kita tolong. Waktu lain kalau rezeki kita susut, mereka (Kerajaan Persekutuan) pula tolong kita. Ini untuk rakyat, rakyat lebih penting,” katanya.

Pada Rabu, Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan Kerajaan Persekutuan akan mengadakan rundingan bersama kerajaan Sarawak tahun ini bagi melaksanakan semakan semula amaun pemberian khas di bawah Perkara 112D, termasuk merumuskan kaedah baharu bagi menentukan perkiraan pemberian khas pada masa depan.

Menurut jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, rundingan itu akan mengambil kira keperluan kerajaan Sarawak berhubung kos perkhidmatan negeri serta kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan selaras dengan peruntukan Perkara 112D.

Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan menetapkan jumlah pemberian khas kepada Sarawak dan Sabah perlu dikaji semula setiap lima tahun.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2523753