DUNIA

Pengimport, Pengguna AS Tanggung Sebahagian Besar Tarif Baharu Pada 2025 - Kajian

13/02/2026 11:57 PM

NEW YORK, 13 Feb (Bernama-Xinhua) -- Tarif yang dikenakan ke atas barangan import oleh pentadbiran Trump pada 2025 sebahagian besarnya ditanggung oleh pengimport dan pengguna Amerika Syarikat (AS) dan bukannya pengeksport luar negara, menurut kajian yang diterbitkan di laman sesawang Bank Rizab Persekutuan New York (New York Fed) pada Khamis, lapor Xinhua.

"Kami mendapati hampir 90 peratus beban ekonomi daripada tarif berkenaan jatuh ke atas firma dan pengguna AS," menurut kertas kerja yang ditulis oleh pakar ekonomi di New York Fed dan seorang lagi ahli ekonomi di Universiti Columbia.

Menurut kajian itu, sebanyak 94 peratus daripada tarif baharu dalam tempoh lapan bulan pertama 2025 telah diserap oleh pengimport dan pengguna AS.

Bahagian tarif yang ditanggung oleh pengimport dan pengguna AS berada pada paras 92 peratus dari September hingga Oktober dan 86 peratus pada November.

"Dapatan ini selaras dengan dua kajian lain yang melaporkan pemindahan kos tarif yang tinggi kepada harga import AS," menurut kertas kerja itu.

Kajian itu juga menunjukkan purata kadar tarif AS ke atas barangan import meningkat daripada 2.6 peratus pada awal 2025 kepada 13 peratus menjelang akhir tahun itu.

Selain itu, keputusan kajian membayangkan bahawa harga import AS bagi barangan yang tertakluk kepada purata tarif meningkat sebanyak 11 peratus lebih tinggi berbanding barangan yang tidak dikenakan tarif.

Jabatan Keselamatan Dalam Negeri AS mengutip US$287 bilion dalam duti kastam, cukai dan yuran pada 2025, melonjak 192 peratus berbanding tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perbendaharaan AS.

Secara khususnya, Kastam dan Perlindungan Sempadan AS mengutip lebih US$200 bilion dalam bentuk tarif antara 20 Jan hingga 15 Dis 2025, yang dimungkinkan melalui lebih 40 perintah eksekutif yang dilaksanakan oleh pentadbiran Trump.

Apa yang telah lama diketahui ialah pengguna dan perniagaan AS yang membayar kos tarif Donald Trump, kata Bruce Klingner, felow kanan di Yayasan Mansfield, ketika beliau memuat naik laporan mengenai kajian itu.

-- BERNAMA-XINHUA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2523902