SUKAN

Persiapan Sukan SEA 2027 Masuk Fasa Intensif

13/02/2026 09:20 PM

KUCHING, 13 Feb (Bernama) -- Persiapan menjelang Sukan SEA 2027, yang bakal dianjurkan dengan Sarawak sebagai tuan rumah utama kini memasuki fasa lebih intensif. 

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Mordi Bimol berkata kerajaan negeri dan Persekutuan menunjukkan komitmen sepenuhnya, terutamanya dari segi persiapan kemudahan infrastruktur dan sebagainya bagi memastikan temasya sukan terbesar Asia Tenggara itu berlangsung dengan lancar. 

“Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memberikan sokongan penuh kepada Sarawak dan  membantu dalam apa jua keperluan pada peringkat Persekutuan.

“Sebagai anak Sarawak yang berada pada peringkat Persekutuan, saya sendiri akan memastikan kerjasama dan bantuan berterusan diberikan bagi menjayakan persiapan temasya Sukan SEA yang akan dianjurkan bersama di Sarawak,” katanya pada sidang media selepas melakukan kunjungan hormat kepada Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sekretariat Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC) 2027 Datuk Rashid Yaakob. 

Mordi berkata beberapa acara sukan bertaraf antarabangsa juga bakal dianjurkan sebagai acara pemanasan menjelang temasya sukan itu, yang juga sebahagian daripada persiapan awal penganjuran temasya itu.

Mengenai acara pemanasan, Rashid berkata penganjurannya adalah amalan biasa bagi mana-mana negara atau negeri yang menjadi tuan rumah kejohanan besar.

“Menjadi amalan biasa untuk menganjurkan beberapa acara, yang bertujuan menilai fasiliti, venue dan aspek operasi bagi melihat bagaimana ia akan berjalan,” katanya sambil menambah daripada keseluruhan 38 sukan dipertandingkan, hanya lapan hingga 10 sukan terlibat dalam acara pemanasan.

Bagaimanapun, pemilihan sukan untuk acara pemanasan belum dimuktamadkan memandangkan masih pada peringkat awal dan banyak fasiliti yang sedang dalam proses naik taraf.

Dalam pada itu, Abdul Karim berkata sebelum ini, komitmen kerajaan negeri untuk menganjurkan sukan bukan sekadar persetujuan “air liur” tetapi melalui satu dokumen jaminan rasmi deed of guarantee yang perlu ditandatangani sebagai bukti komitmen kewangan.

“Saya sendiri membawa surat itu kepada Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk pengesahan dan akhirnya menandatangani dokumen tersebut bagi pihak kerajaan negeri. Ia adalah jaminan bahawa Sarawak komited dengan jumlah RM350 juta,” katanya. 

Dokumen berkenaan kemudian dibawa ke peringkat Kabinet Persekutuan sebagai bukti komitmen rasmi Sarawak terhadap penganjuran temasya itu.

Kerajaan persekutuan dan negeri masing-masing akan menanggung RM350 juta bagi kos penganjuran Sukan SEA, menjadikan jumlah keseluruhan kos penganjuran sebanyak RM700 juta.

“Langkah itu mencerminkan komitmen bersama kedua-dua pihak dalam memastikan temasya sukan dapat dianjurkan dengan lancar dan mencapai standard ditetapkan,” katanya selaku ketua penganjuran yang turut berhasrat memastikan temasya itu sebagai Sukan SEA yang terbaik pernah dianjurkan Malaysia.

Sukan SEA 2027 dijadualkan berlangsung dari 18 hingga 29 Sept 2027, dengan Sarawak bertindak sebagai antara kluster utama, dan tuan rumah upacara pembukaan di Stadium Sarawak. Selain itu acara lain akan diadakan di Pulau Pinang, Johor, dan Kuala Lumpur. 

-- BERNAMA 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2523841