KUANTAN, 13 Feb (Bernama) -- Sebanyak 1,448 kenderaan perkhidmatan awam telah diperiksa oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang sepanjang tahun lepas, dengan 65 daripadanya atau 4.5 peratus diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang Datuk Razali Kassim berkata hasil pemeriksaan yang dijalankan itu juga, sebanyak 454 notis saman JPJ (P22) telah dikeluarkan.
“Selain itu, daripada 138 saringan urin yang dilaksanakan ke atas pemandu kenderaan perkhidmatan awam tiga kes atau dua peratus didapati positif, sekali gus menunjukkan keperluan pemantauan berterusan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya ketika berucap pada Program Advokasi sempena Perayaan Tahun Baharu Cina 2026.
Dalam pada itu, beliau berkata bagi tempoh sama, JPJ Pahang turut melaksanakan pelbagai program advokasi dan pendidikan keselamatan jalan raya sepanjang tahun lepas sebagai usaha meningkatkan kesedaran awam.
“Sebanyak 82 program advokasi dan ceramah keselamatan jalan raya telah dilaksanakan melibatkan 16,185 peserta daripada pelbagai kumpulan sasaran termasuk pelajar sekolah, pemandu kenderaan awam, penjawat awam dan komuniti setempat,” katanya.
-- BERNAMA