JENAYAH & MAHKAMAH

Op Selamat: Polis Sarawak Tugaskan 850 Pegawai, Anggota

12/02/2026 04:47 PM

KUCHING, 12 Feb (Bernama) -- Polis menugaskan 850 pegawai dan anggota di seluruh Sarawak bagi melaksanakan Op Selamat sempena Tahun Baharu Cina 2026 bermula 15 hingga 20 Feb ini sebagai usaha memperkukuh penguatkuasaan serta mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata langkah itu diambil susulan 49 kes kemalangan maut direkodkan dari 1 Jan hingga 11 Feb tahun ini berbanding 32 kes dalam tempoh sama tahun lepas, dengan kelalaian pemandu menjadi antara punca utama insiden berkenaan.

“Jadi ini sangat membimbangkan. Kalau kita lihat pada tahun lepas, Op Selamat di negeri Sarawak ini berjaya mengurangkan kes kemalangan maut jadi kita berharap tahun ini juga kita mampu untuk mengurangkan kes kemalangan jalan raya dan juga kemalangan maut,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Op Selamat sempena Tahun Baharu Cina 2026 di sini hari ini.

Beliau berkata polis turut mengenal pasti 85 lokasi ‘hotspot’ di seluruh negeri, khususnya di bandar besar seperti Kuching, Sibu dan Bintulu bagi tujuan pemantauan dan kawalan trafik.

Mohamad Zainal menasihatkan orang ramai supaya memandu secara berhemah sepanjang cuti panjang sambutan Tahun Baharu Cina serta berhenti memandu dan berehat sekiranya mengantuk.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2523262