AM

Mahima Sokong Seruan PM Patuhi Peraturan Bina Tempat Ibadat

12/02/2026 11:58 PM

KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Majlis Kuil-Kuil Hindu dan Persatuan Agama Hindu Malaysia (MAHIMA) menyatakan sokongan terhadap arahan Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini bahawa kerajaan tidak akan membenarkan pembinaan tempat ibadat tanpa kelulusan yang sah atau pematuhan terhadap peraturan yang ditetapkan.

Presidennya Datuk N. Sivakumar berkata kenyataan Perdana Menteri itu tidak seharusnya dilihat sebagai kontroversi, sebaliknya sebagai langkah penting untuk menyusun semula dan melindungi kuil serta rumah ibadat yang sedia ada di seluruh negara.

Beliau berkata banyak kuil, terutamanya yang terletak di kawasan estet, dipercayai dibina semasa era penjajahan British dan menegaskan bahawa dokumentasi yang lengkap perlu disediakan untuk melindungi hak milik tanah asal mereka.

“Kita harus melihat perkara ini secara positif. Usaha ini akan memastikan kuil disusun dengan teratur dan dilindungi.

“Jawatankuasa kuil perlu menyediakan dokumen lengkap dan menyerahkannya kepada pihak berkuasa bagi mengekalkan status mereka. Pengesahan secara sah adalah langkah terbaik, dan nasihat Perdana Menteri diberikan pada masa yang tepat,” katanya kepada Bernama TV dalam bahasa Tamil hari ini.

Sivakumar berkata langkah kerajaan itu juga akan memudahkan penyediaan rekod dan data lengkap mengenai tempat ibadat di negara ini, sekali gus membantu mempertingkatkan koordinasi serta pengurusan jangka panjang.

Pada masa sama, beliau mencadangkan penubuhan pasukan petugas khas di bawah Kerajaan MADANI bagi mengurus dan menyelaraskan hal berkaitan tempat ibadat, berikutan kekeliruan orang ramai mengenai pemilikan tanah dan isu pemindahan.

Sivakumar berkata Mahima bersedia membantu pihak pentadbiran kuil yang menerima notis pemindahan dengan memberikan panduan dan penyelesaian berhubung hal tanah dan undang-undang.

“Kami sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa dan jawatankuasa kuil yang terlibat bagi memastikan penyelesaian adil serta pengurusan yang teratur,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri menegaskan bahawa tiada mana-mana pihak berhak mengambil tindakan sendiri di luar kerangka undang-undang dalam isu berkaitan rumah ibadat.

Beliau menekankan Malaysia diasaskan atas prinsip kedaulatan undang-undang dan semua pihak mesti menghormati prinsip tersebut.

Anwar berkata bahawa pematuhan terhadap undang-undang sedia ada serta peraturan pembinaan tempat ibadat dan isu sensitif lain adalah penting bagi mengekalkan keharmonian dan kestabilan negara.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2523450