EKONOMI

Ringgit Dijangka Bergerak Ke Arah 3.70 Menjelang Akhir Tahun - MUFG Bank

12/02/2026 11:54 PM

KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- MUFG Bank Ltd menjangkakan ringgit akan terus mengukuh ke arah 3.7000 menjelang akhir‑2026 berbanding dolar US, disokong oleh kitaran kenaikan nilai ringgit yang lebih bertahan selepas dipacu oleh asas struktur.

Penganalisis mata wang kanan bank itu, Lloyd Chan berkata jangkaan itu disandarkan kepada aliran masuk pelaburan yang diterajui oleh teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), kestabilan makroekonomi yang mampan, penetapan dasar yang menyokong termasuk aliran modal yang bertambah baik.

“Ekonomi Malaysia sedang mengalami kitaran pelaburan yang kukuh yang akan menyokong prospek pertumbuhan jangka sederhananya.

"Kelulusan pelaburan merentasi kedua-dua pembuatan dan perkhidmatan menokok sebanyak 14.7 peratus dari tahun ke tahun dalam sembilan bulan pertama 2025, dengan pelaburan langsung asing menyumbang kepada kitaran naik dalam perbelanjaan modal.

Ini mencerminkan keyakinan baharu dalam rangka kerja dasar, infrastruktur serta kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan serantau," katanya melalui satu nota penyelidikan hari ini. 

Selain itu, beliau berkata aliran masuk pelaburan langsung asing yang berterusan biasanya amat menyokong ringgit kerana ia membantu mengukuhkan produktiviti dan mengukuhkan imbangan luaran dari semasa ke semasa.

Pelaburan yang diterajui ICT memacu pertumbuhan berkualiti tinggi. ICT telah muncul sebagai penyumbang terbesar kepada jumlah pelaburan yang diluluskan, dengan penyertaan asing yang mantap sejak 2022.

Kelulusan pelaburan ICT melonjak kira-kira 32 peratus dari tahun ke tahun dalam sembilan bulan 2025. 

Chan berkata makroekonomi yang agak stabil juga telah memampatkan premium risiko, dengan inflasi kekal terkawal walaupun adanya rasionalisasi subsidi bahan api RON95 serta pelarasan cukai jualan dan perkhidmatan, yang membolehkan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kestabilan dasar.

“Disiplin fiskal mengawal risiko kedaulatan, menyokong keyakinan pelabur dalam pasaran kewangan tempatan,” katanya. 

MUFG Bank merupakan bank Jepun dan anak syarikat perbankan teras Mitsubishi UFJ Financial Group.

Sementara itu, MUFG Bank menjangka BNM akan mengekalkan pendirian dasar neutral, dengan kadar dasar ditetapkan pada 2.75 peratus sepanjang 2026, manakala pelonggaran Rizab Persekutuan selanjutnya akan terus mengecilkan perbezaan kadar.

“Ini akan melonjakkan daya tarikan hasil relatif Malaysia dan telah membantu memacu peningkatan yang mantap dalam aliran masuk bon asing bersih sejak 2024,” tambahnya.

Beliau berkata dengan penilaian ekuiti yang munasabah, latar belakang makro yang kukuh dan kitaran teknologi yang berterusan, Malaysia berada pada kedudukan terbaik untuk kepentingan ekuiti asing yang diperbaharui, menyediakan pemangkin peningkatan tambahan kepada ringgit.

"Kecenderungan luaran semakin menggalakkan. Harga komoditi yang lebih baik telah menyokong syarat perdagangan, manakala sektor elektronik mendapat manfaat daripada kenaikan belanjawan Amerika Syarikat dalam komputer dan perkakasan. Daya tahan berterusan yang dilihat dalam yuan turut menyokong ringgit, memandangkan korelasi yuan-ringgit yang kuat," katanya.

Risiko penurunan kepada unjuran ringgit MUFG Bank adalah seperti kelembapan pertumbuhan global yang mendadak, penurunan ketara dalam harga komoditi atau kemerosotan dalam kitaran elektronik global.

Hari ini, ringgit melonjak ke paras tertinggi baharu pada 3.8995 berbanding dolar US, berlegar berhampiran paras paling kukuh dalam hampir lapan tahun.

Kali terakhir, mata wang tempatan itu didagangkan di sekitar paras tersebut adalah semasa 23 April 2018, pada 3.8965/8995 berbanding dolar US.

-- BERNAMA


 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2523443