DUNIA

India Lulus Cadangan Berbilion Dolar Beli 114 Pesawat Pejuang Rafale Dari Perancis

13/02/2026 12:04 AM

Oleh Shakir Husain

NEW DELHI, 12 Feb (Bernama) -- Kementerian Pertahanan India pada Khamis memberi kelulusan awal bagi pembelian 114 pesawat pejuang Rafale daripada syarikat Dassault Aviation Perancis dalam satu perjanjian bernilai berbilion dolar yang dijangka dapat meningkatkan keupayaan tempur Tentera Udara India secara signifikan.

Majlis Perolehan Pertahanan, yang diketuai oleh Menteri Pertahanan Rajnath Singh, memberikan "Penerimaan Keperluan (AoN)" bagi pelbagai cadangan bernilai kira-kira 3.6 trilion rupee (US$39.7 bilion), menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.

Pakej untuk Tentera Udara India itu merangkumi jet pejuang serta peluru berpandu serangan darat.

"Perolehan Pesawat Pejuang Pelbagai Peranan (MRFA) ini akan meningkatkan keupayaan bagi melaksanakan peranan penguasaan udara merentasi spektrum konflik dan memperkukuh keupayaan pencegahan Tentera Udara India (IAF) dengan serangan jarak jauh. Majoriti MRFA yang akan diperoleh ini bakal dikilangkan di India," katanya.

IAF kini sudah mengendalikan 36 buah Rafale, manakala Tentera Laut India dijadualkan menerima 26 buah Rafale Marine berpangkalan di kapal pengangkut menjelang 2030.

Pengumuman mengenai Rafale itu merupakan antara beberapa cadangan perolehan ketenteraan yang diluluskan oleh kementerian berkenaan.

Kenyataan itu tidak menyatakan jumlah pesawat yang dibeli, namun laporan media India meletakkan angka berkenaan sebanyak 114 buah.

Cadangan itu diluluskan sebelum ketibaan Presiden Perancis Emmanuel Macron di India pada 17 Feb ini bagi lawatan selama tiga hari.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2523452