Oleh Mohd Faiz Abdullah
KUALA LUMPUR, 11 Feb (Bernama) -- Penghasilan sesebuah buku lazimnya dipengaruhi oleh era ia ditulis. Namun, ada pengecualian, seperti beberapa karya luar biasa dalam bidang sastera dan falsafah.
Sesetengah karya mungkin lahir daripada keadaan sejarah tertentu, tetapi pandangan dan mesejnya melangkaui kerisauan pada zaman itu, mungkin mencerminkan suasana intelektual pada era tersebut, tetapi pada masa yang sama memperkenalkan paradigma pemikiran baharu.
Ini kaedah sejarah menguji idea - ada yang luntur dan hanya mencapai satu generasi, manakala ada yang bertahan, menyampaikan kebenaran merentasi abad, malah milenium dan sempadan, dengan cara yang mungkin tak terjangkau dek akal pengarangnya.
Umpama ungkapan oleh Francis Bacon, individu yang sezaman dengan Shakespeare: ‘Membaca menjadikan seseorang lengkap; berbincang menjadikan seseorang bersedia; dan menulis menjadikan seseorang lebih teliti.’Lambang sebuah buku yang benar-benar bermakna, hasil karya individu sebegini, terletak pada kemampuannya untuk kekal relevan walaupun telah diterbitkan sekian lama, serta menawarkan kepada pembaca suasana yang amat berlainan daripada era ia dihasilkan.
Buku The Asian Renaissance karya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, satu daripada buku seumpamanya. Diterbitkan kali pertama tiga dekad lepas, buku ini ditulis ketika Asia sedang melalui kepesatan transformasi.
Ekonomi sedang meningkat, masyarakat semakin moden, dan perdebatan mengenai identiti, budaya, dan pembangunan semakin hangat. Suasana optimis, sudut pandangan yang memberangsangkan, dan “harimau”, bersemangat dan bertenaga, berhasrat mengejar kejayaan lebih besar.
Era yang penuh keterujaan yang tidak terkawal pada waktu itu kemudian bertukar menjadi krisis kewangan Asia, isu subprima di Amerika Syarikat, diikuti perang memerangi keganasan dan pandemik COVID-19.
Penulis sendiri telah mengharungi “the whips and scorns” akibat pergolakan peribadi dan politik sejak 1997. Ungkapan bahawa banyak yang berubah ialah satu kenyataan singkat.
Namun, idea yang diketengahkan dalam The Asian Renaissance terus memberikan kesan dalam kalangan pembaca baharu. Hal ini jelas apabila terjemahan buku itu dalam bahasa Itali dilancarkan di Rom pada minggu lepas.
Dalam sesi yang diadakan sempena pelancaran itu, panel membincangkan teks berkenaan bukan sebagai artifak atau dokumen sejarah, tetapi sebagai karya hidup yang masih berupaya membicarakan mengenai dilema kontemporari. Ini amat signifikan kerana panel itu terdiri daripada pengamal dasar, pegawai kanan kerajaan, wakil kumpulan pemikir terkemuka di Rom, dan ahli Dewan Perwakilan Itali.
Walaupun perubahan besar telah berlaku sejak penerbitannya, adalah satu kesilapan untuk menganggap persoalan yang diketengahkan The Asian Renaissance sudah tidak relevan.
Jika ada perubahan sekali pun, ia hanya berubah bentuk melalui cabaran baharu, apabila kebimbangan yang mengiringi kebangkitan pesat Asia kini muncul dalam bentuk baharu.
Perdebatan dahulu mungkin tertumpu sama ada masyarakat Asia boleh menjalani transformasi pemodenan sambil mengekalkan budaya yang telah menjadi akar umbi - sering dikaitkan dengan teori Clash of Civilizations oleh Huntington versus End of History oleh Fukuyama - perbincangan kontemporari menumpukan pada bagaimana kuasa, teknologi, dan pengaruh harus digunakan dalam dunia yang saling berkait antara satu sama lain.
Persoalan itu akan kekal relevan meski apa pun yang berlaku, dan dengan kemunculan kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran kuantum dan genomik, pada era pascanormal ini, ia menjadi kian mendesak.
Jika dilihat dari sudut ini, The Asian Renaissance melampaui had temporal tren global 1990-an dan menyingkap perspektif baharu kepada pembaca untuk merenung asas falsafah dan etika dalam kehidupan masyarakat, tadbir urus, dan pembinaan tamadun.
Buku itu amat menganjurkan kewujudan yang berasaskan kepelbagaian dengan menolak jingoism (fahaman yang terlalu mengagung-agungkan kekuasaan atau kehebatan negara sendiri) dan menentang pandangan dunia yang memandang rendah masyarakat lain.
Selain itu, buku berkenaan juga menumpukan kepada convivencia di Semenanjung Iberia pada zaman pertengahan, yang menyaksikan orang Islam, Kristian dan Yahudi menjalani kehidupan bersama-sama, meskipun tidak sepenuhnya tetapi tetap menghasilkan produktiviti yang praktikal.
Iktibar dari convivencia bukanlah mengenai kerinduan terhadap masa lampau, tetapi sebagai peringatan bahawa masyarakat yang berbilang kaum dan agama boleh berkembang apabila sikap rendah diri mengimbangi kuasa dan dialog mengawal tamak haloba.
Berbekalkan semangat itu, Dalam ucaptama di Rom, saya menekankan bahawa dialog bermakna mesti bermula dengan kerendahan hati, tentang apa yang kita ketahui dan apa yang mungkin kita salah faham.
Perlu keberanian untuk mempersoalkan andaian kita sendiri, jujur mengakui kesilapan lampau, dan terbuka untuk belajar daripada orang lain yang menjalani kehidupan dan pemikiran yang berbeza daripada kita. Sikap diplomatik Malaysia mencerminkan semangat ini.
Negara ini sekian lama menjalin pelbagai hubungan tanpa mengikat diri kepada satu pihak atau terperangkap pada satu naratif sahaja. Malaysia mengiktiraf kedua-dua kuasa besar sebagai pelabur asing dan rakan dagang utama, serta kuasa sederhana lain di seluruh dunia sebagai rakan strategik.
"Ini selari dengan semangat The Asian Renaissance, yang tidak membayangkan masa depan Asia sebagai satu bentuk penguasaan atau peniruan, tetapi sebagai keyakinan moral yang berpunca daripada kepelbagaian, maruah, dan kedudukan rantau ini pada pentas dunia."
Tiga dekad selepas penerbitan pertama, mesej The Asian Renaissance terus bergema.
Tatkala xenofobia, Islamofobia, dan ekstremisme masih berleluasa di seluruh dunia, seruan untuk dialog tamadun bagi memupuk kepercayaan dan saling menghormati bukan sahaja relevan, malah menjadi lebih mendesak, apatah lagi dengan peningkatan ketegangan geopolitik dan penyusunan semula geoekonomi yang mengancam keamanan global.
Sama ada keperluan untuk ekonomi yang manusiawi, perusahaan bebas digalakkan tetapi kapitalisme yang tidak terkawal dibendung, pertumbuhan diseimbangkan dengan keadilan sosial, dan pembangunan turut mengambil kira pelaburan bagi menangani cabaran perubahan iklim, ketidakstabilan ekonomi, dan gangguan teknologi.
The Asian Renaissance menyediakan asas intelektual serta kompas moral dan etika yang diperlukan, bukan sahaja untuk zaman ini, malah pada dekad yang mendatang.
-- BERNAMA
Datuk Prof Dr Mohd Faiz Abdullah ialah Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia.