PETALING JAYA, 11 Feb (Bernama) -- Malaysia berada pada landasan yang betul dengan mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang baik, inflasi rendah serta pelaburan yang tinggi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata sehubungan itu, pelbagai pihak perlu bekerjasama untuk terus mengukuhkan ekonomi negara, berpaksikan politik yang stabil serta negara yang aman.
"Bagi mengangkat Malaysia menjadi negara maju dari segi ekonomi...digital, maka rakyat dan peniaga juga perlu dinamik untuk melakukan beberapa anjakan (memajukan ekonomi)," kata beliau ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baru Cina Gabungan Dewan Perniagaan Dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) di sini malam ini.
Beliau berkata kerajaan akan melaksanakan beberapa pendekatan seperti bantuan kepada syarikat serta perusahaan kecil dan sederhana untuk membantu melonjakkan perniagaan mereka di negara ini.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata pimpinan kerajaan turut mendengar setiap permasalahan yang diutarakan rakyat seperti isu komitmen kerajaan dalam pembayaran balik cukai terlebih bayar.
-- BERNAMA