JENAYAH & MAHKAMAH

Warga Asing Salah Guna Pas Sosial, Berniaga Guna Rakan Kongsi Tempatan

12/02/2026 02:12 PM

PUTRAJAYA, 12 Feb (Bernama) -- Terdapat pelancong asing dikesan menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial (PLS) untuk membuka perniagaan di negara ini, dengan menggunakan rakan kongsi rakyat tempatan selain untuk bekerja, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata pihaknya telah mengenal pasti beberapa industri yang menjadi tumpuan, antaranya sektor pelancongan, hiasan dalaman, perabot serta restoran, dan isu berkenaan telah dibincangkan beberapa kali dalam mesyuarat Jemaah Menteri .

"Walaupun mereka (pelancong asing) mungkin bertindak sebagai pemodal, mereka tetap perlu memohon pas yang sah untuk berniaga. Jika masuk sebagai pelancong tetapi berniaga, itu menyalahi undang-undang dan tindakan akan diambil," katanya dalam sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini hari ini.

Saifuddin Nasution mendedahkan aktiviti itu dikesan berlaku secara ketara dalam sektor pelancongan, khususnya di kawasan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) termasuk di pulau-pulau sekitar Semporna.

"Hasil operasi bersama ESSCOM mendapati terdapat hingga 81 unit chalet diusahakan oleh warga asing yang masuk menggunakan rakan kongsi tempatan sebelum mereka sendiri mengusahakannya. Ini sudah tentu menjejaskan usahawan tempatan yang mematuhi undang-undang," katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) lebih peka terhadap pembangunan fasiliti di kawasan masing-masing kerana projek seperti chalet tidak dibangunkan dalam tempoh yang singkat.

Saifuddin Nasution menegaskan siasatan pihaknya akan 'zoom in' kepada semua hala tuju termasuk kemungkinan penglibatan ejen pelancongan bagi mencari punca dan pelaku sebenar.

Selain sektor pelancongan, KDN turut mengenal pasti penglibatan warga asing dalam industri hiasan dalaman, restoran, serta industri perabot.

Beliau menjelaskan bahawa operasi penguatkuasaan yang dijalankan agensi di bawah KDN bertujuan mengesan warga asing yang melanggar syarat pas, memandangkan pemegang PLS tertakluk kepada sekatan yang tidak membenarkan mereka bekerja atau berniaga.

"Kita menguatkuasakan beberapa akta termasuk Akta Imigresen merangkumi mereka yang masuk tanpa melalui pintu masuk rasmi, salah guna pas, mahupun tinggal lebih masa," katanya.

Bagi tempoh 2025 sehingga pertengahan Januari lepas, sebanyak 54,791 warga asing telah diambil tindakan penguatkuasaan kerana menyalahgunakan PLS bagi tujuan bekerja di negara ini.

KDN komited untuk meningkatkan elemen penguatkuasaan termasuk mengekang salah guna PLS selaras dengan gesaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mahu isu penyalahgunaan pas dan kawalan warga asing diberikan tumpuan serius.

Pada 30 Jan lepas, Menteri Komunikasi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil berkata Perdana Menteri mahu tindakan penguatkuasaan tegas diambil terhadap warga asing yang menyalahgunakan PLS atau kelonggaran visa untuk bekerja di Malaysia.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2523141