AM

Tunku Zain Al-'Abidin Dilantik Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Uni Enrol

12/02/2026 09:51 PM

KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Uni Enrol, platform bagi permohonan biasiswa dan universiti utama di Malaysia, telah melantik Tunku Zain Al-'Abidin Tuanku Muhriz sebagai pengarah bebas bukan eksekutifnya.

Dalam kenyataan hari ini,  Uni Enrol memaklumkan pelantikan Tunku Zain Al-’Abidin bakal menyumbang kepada kepimpinan strategik misi organisasi itu untuk memperluas akses pendidikan, menerusi pengalaman luas beliau dalam integriti institusi dan mobiliti sosial.

Ia sekali gus memperkukuh komitmen terhadap pertumbuhan beretika ketika syarikat berusaha memperluaskan impaknya ke seluruh negara. 

Tunku Zain Al-'Abidin, seorang intelektual awam disegani yang pernah berkhidmat sebagai canselor, pro-canselor, fellow dan pemegang amanah bagi universiti awam serta swasta, mempunyai kepakaran mendalam dalam polisi dan pendidikan.

“Sebagai pengarah bebas bukan eksekutif, beliau akan memastikan Uni Enrol terus berkembang dengan berteraskan matlamat utamanya, iaitu merapatkan jurang dan mewujudkan peluang persaingan yang saksama bagi semua belia di Malaysia,” menurut kenyataan itu. 

Uni Enrol turut mengumumkan pelantikan Tunku Zain Al-’Abidin sebagai Pengerusi Kehormat  program Scholarship Acceleration 2026,  sekali gus menyaksikan detik bersejarah apabila inisiatif itu bakal melepasi jumlah kumulatif RM100 juta dalam bentuk biasiswa untuk kemudahan pelajar Malaysia. 

“Melalui inisiatif ini, kami berhasrat untuk meneruskan asas yang telah dibina oleh pemimpin komuniti, dengan sasaran meningkatkan padanan biasiswa tahunan kepada RM17 juta pada 2026 sahaja,” menurut kenyataan itu.

Program Scholarship Acceleration 2026 adalah sebagai menghargai legasi Scholar Search, dengan meningkatkan keterlihatan lebih 600 jenis biasiswa yang tersedia melalui Uni Enrol serta memperkukuh akses pendidikan sebagai tanggungjawab nasional bersama. Program ini disasarkan memberi manfaat kepada lebih 10,000 pelajar di seluruh negara pada tahun-tahun akan datang.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Uni Enrol Rickson Khaw berkata perjalanan menuju detik bersejarah tersebut dibina atas dasar usaha kolektif menerusi inisiatif utama, Scholar Search sejak penubuhan pada  2018 dan digerakkan oleh rangkaian pemimpin komuniti, pendidik dan rakan setempat yang berdedikasi di setiap negeri.

“Pencapaian RM100 juta yang semakin hampir ini adalah bukti sumbangan tanpa jemu daripada rakan komuniti kita sejak sembilan tahun ini. Mereka telah menyumbang kredibiliti, masa dan sumber untuk mendekati pelajar dari seluruh pelosok negara kerana mereka percaya bahawa misi kita menjadi nadi kepada Uni Enrol, dan fasa seterusnya adalah untuk menghargai kepercayaan yang mereka bina bersama kami,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai pelantikannya, Tunku Zain Al-’Abidin berkata dengan menyertai Uni Enrol, membolehkan beliau menyumbang kepada sebuah organisasi yang memainkan peranan penting dalam teknologi, pendidikan dan moboliti sosial, dan amat tertarik dengan legasi sembilan tahun platform itu dalam bekerjasama dengan pemimpin komuniti untuk memperkasa pelajar yang kurang bernasib baik. 

Tunku Zain Al-’Abidin berkata tumpuan beliau adalah untuk memastikan Uni Enrol mencapai sasaran RM100 juta secara telus, bertanggungjawab dan terancang.  

Beliau berkata inisiatif Scholarship Acceleration 2026 berfungsi sebagai mekanisme utama yang menterjemahkan dedikasi rakan komuniti Uni Enrol dalam memperluaskan akses serta peluang yang lebih besar, sekali gus memastikan tiada bakat Malaysia yang tercicir.

“Aspirasi saya adalah untuk melihat lebih ramai golongan muda, khususnya belia bumiputera menamatkan pengajian tinggi mereka. Saya juga berharap kita dapat terus memperluas jangkauan dengan memperkasa mereka agar dapat terlibat sepenuhnya dalam membentuk masa depan negara.

“Untuk itu, laman sesawang dalam versi bahasa Melayu akan ditambah baik menjelang pertengahan tahun ini dan ia menjadi langkah penting dalam merealisasikan matlamat tersebut,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2523404