GAYA HIDUP

Pemain Piano Terkenal Vincent Ong Kembali Ke Tanah Air Mac Ini

11/02/2026 12:01 PM

Oleh Wartawan Bernama Lifestyle

GEORGE TOWN, Feb 10 (Bernama) -- Pemain piano terkenal kelahiran Pulau Pinang, Vincent Ong, akan kembali ke tanah air pada Mac ini di bawah program kepulangan kebangsaan bagi meraikan kecemerlangan Malaysia melalui satu siri persembahan dan inisiatif pendidikan di Kuala Lumpur dan juga di sini.

Ong, rakyat Malaysia pertama yang memenangi hadiah di pertandingan piano berprestij Chopin Piano Competition di Poland, akan mengendalikan program dua hari merangkumi kelas induk piano dan sesi dialog pada 27 Mac di Steinway Gallery, Gurney Paragon, diikuti dengan resital piano pada 28 Mac di Pusat Konvensyen Waterfront Pulau Pinang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang Wong Hon Wai berkata program kepulangan itu lebih daripada sekadar pencapaian peribadi, kerana ia mencerminkan keyakinan negeri terhadap bakat Malaysia serta komitmen untuk meletakkan Pulau Pinang sebagai destinasi budaya.

“Setiap persembahan beliau membawa nama Malaysia dan Pulau Pinang di pentas dunia, memperkukuh kedudukan kita dalam peta budaya global,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Rondo Production Kenny Ooi selaku penganjur program yang disokong oleh TalentCorp dan kerajaan Pulau Pinang, serta Kedutaan Poland dan Associated Board of the Royal Schools of Music itu.

pic-2

Wong berkata menerusi resital, Ong akan membawa penonton menelusuri perjalanan muzik merentas era, daripada keindahan muzik Johannes Brahms dan kejelasan Joseph Haydn hingga intensiti ritma Béla Bartók.

Sementara itu, Ooi berkata sambutan orang ramai terhadap program kepulangan itu amat positif, dengan tiket untuk kedua-dua sesi pendidikan dan resital di Pulau Pinang telah habis dijual, mencerminkan rasa bangga kolektif serta keinginan rakyat Malaysia untuk meraikan kecemerlangan di tanah air sendiri.

“Di Pulau Pinang, semua 40 tiket untuk kelas induk piano dan sesi dialog, serta 600 tiket ke resital telah habis dijual. Bagi membolehkan lebih ramai hadir, kami akan mengeluarkan tiket tambahan antara 100 ke 150 tempat duduk lagi dengan diskaun untuk pelajar,” katanya.

Lahir pada 2001, Ong mula bermain piano pada usia empat tahun dan dikenali kerana gaya interpretasinya yang tersendiri, menggabungkan imaginasi puitis dengan seni muzik yang kukuh.

Anak muda ini meraih pengiktirafan antarabangsa sebagai laureat Pertandingan Piano Antarabangsa Fryderyk Chopin ke-19, menempatkan dirinya antara pemain piano terkemuka generasinya.

Sedang melanjutkan pengajian di bawah bimbingan Prof Eldar Nebolsin di Hochschule für Musik Hanns Eisler, Berlin, Ong pernah memenangi tempat pertama di Pertandingan Antarabangsa Robert Schumann ke-19 ,selain meraih kemenangan di Festival Piano Maestro Antarabangsa Taipei pada 2018.

Beliau juga pernah membuat persembahan di beberapa venue terkemuka, antaranya Seoul Arts Centre dan Tokyo Metropolitan Theatre, selain diundang ke festival berprestij Nohant Festival Chopin di Perancis pada 2025.

Ong merupakan penerima biasiswa Lucia-Loeser Foundation dan Fondation Clavarte, serta ahli aktif  Lieven International Piano Foundation di Vienna.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2522623