AM

Laporan Azam Baki Gagal Isytihar Harta Tidak Benar, Jejaskan Imej Dan Reputasi - SPRM

10/02/2026 06:41 PM

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan bahawa Ketua Pesuruhjayanya Tan Sri Azam Baki gagal membuat pengisytiharan harta seperti yang dilaporkan oleh media antarabangsa, Bloomberg, baru-baru ini.

SPRM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya memandang serius laporan berkenaan yang disifatkan mengandungi pernyataan mengelirukan serta tohmahan tidak berasas.

“Laporan tersebut bukan sahaja menjejaskan imej dan reputasi pegawai berkenaan malah secara tidak berasas mengaitkan SPRM dengan dakwaan salah laku yang boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap Suruhanjaya ini,” kata SPRM.

Menurut kenyataan itu, pengisytiharan harta oleh penjawat awam tertakluk kepada tadbir urus dan prosedur pentadbiran yang ditetapkan di bawah rangka kerja perkhidmatan awam serta dibuat melalui saluran rasmi kepada pihak berkuasa berkaitan.

“Ketua Pesuruhjaya SPRM telah mematuhi sepenuhnya keperluan pengisytiharan harta yang berkuat kuasa termasuk melalui Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS) kepada Jabatan Perkhidmatan Awam berhubung sumber pendapatan serta pemerolehan dan pelupusan aset termasuk saham,” menurut kenyataan itu.

Menurut SPRM laporan itu yang menggambarkan seolah-olah terdapat kegagalan membuat pengisytiharan harta oleh Azam adalah tidak benar dari segi fakta dan memberi tanggapan mengelirukan terhadap kerangka integriti serta tatakelola yang mengawal suruhanjaya dan perkhidmatan awam.

“Dakwaan berkenaan sekali gus memberi persepsi negatif ke atas SPRM sebagai sebuah agensi penguatkuasaan,” menurut kenyataan itu.

SPRM menegaskan pihaknya kekal komited menegakkan amanah, integriti dan ketelusan dalam pelaksanaan tugas statutori yang diamanahkan serta tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan menjejaskan kredibiliti dan kepercayaan awam terhadap Suruhanjaya itu melalui pelaporan yang tidak tepat dan tidak bertanggungjawab.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2522406