POLITIK

Nurul Izzah: Tubuh J/K Pengawasan Bebas Untuk Perkukuh SPRM

09/02/2026 11:51 PM

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Kerajaan digesa menubuhkan Jawatankuasa Pengawasan Bebas yang melapor terus kepada Parlimen bagi memperkukuh akauntabiliti dan memulihkan keyakinan rakyat terhadap kerangka antirasuah negara, kata Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

Beliau mengakui bahawa usaha membanteras rasuah di bawah pentadbiran MADANI lebih aktif berbanding era sebelumnya, namun menegaskan bahawa aktiviti semata-mata tidak semestinya menjamin akauntabiliti.

Katanya kebimbangan rakyat terhadap integriti institusi antirasuah semakin ketara sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Nurul Izzah berkata tekad untuk membersihkan sistem tanpa mengira pangkat atau status mesti disertai proses sewajarnya, ketelusan, dan pendakwaan berterusan untuk mendapatkan kepercayaan rakyat.

“Jawatankuasa pengawasan yang dicadangkan perlu diberi kuasa untuk menyemak tindakan penguatkuasaan, meneliti keputusan berkaitan pembekuan aset, mengaudit aliran kewangan, dan memastikan usaha antirasuah berpandukan bukti, proses yang sah, serta kepentingan rakyat.

“Ini bukan bermaksud melemahkan perjuangan menentang rasuah, sebaliknya ia bertujuan mengukuhkan lagi usaha tersebut melalui pemulihan kredibiliti, ketelusan, dan keyakinan rakyat. Jika kita serius mahu reformasi, institusi kita bukan sahaja mesti berkuasa, ia juga mesti bertanggungjawab,” katanya dalam surat kepada editor.

Nurul Izzah berkata institusi bukan sahaja perlu berkuasa, malah mesti bertanggungjawab supaya keadilan dapat ditegakkan tanpa rasa takut atau pilih kasih, dan tiada siapa, termasuk pihak penguatkuasa, berada di atas pengawasan.

Katanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah malaysia (SPRM) yang kukuh, bebas, dan berani adalah amat penting bagi memastikan agenda antirasuah yang berwibawa, sambil menegaskan bahawa persoalan mengenai cara kuasa digunakan tidak seharusnya dilihat sebagai serangan terhadap institusi penguatkuasaan.

“Kita menyaksikan siasatan melibatkan tokoh politik berprofil tinggi, bekas menteri, penjawat awam kanan, malah kes berkaitan sektor pertahanan.

“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat kes berulang di mana aset, selalunya dimiliki individu ternama atau kaya, dibekukan tanpa penjelasan memadai kepada rakyat, dan kemudian dibuka semula tanpa justifikasi,” katanya.

Beliau berkata tindakan penguatkuasaan, walaupun berniat baik, tidak seharusnya dilihat sebagai melulu atau sewenang-wenangnya, terutamanya melibatkan pembekuan aset.

Merujuk kepada pendedahan terkini skandal Kementerian Pertahanan (MINDEF) Nurul Izzah berkata dakwaan tuduhan melibatkan jutaan ringgit dan pegawai kanan Angkatan Tentera telah memberi tamparan hebat kepada keyakinan rakyat secara serius.

Beliau berkata di sebalik skandal individu, rakyat bimbang tentang cara kuasa penguatkuasaan digunakan dan dipantau, khususnya apabila kuasa penyiasatan, pendakwaan, dan kewangan tertumpu pada satu institusi sahaja di bawah Akta SPRM, tanpa pengawasan luaran yang mencukupi, yang menimbulkan risiko sistemik.

“Rasuah bukan sekadar kegagalan individu, tetapi hasil sistem yang mentoleransi, melindungi, malah kadang-kadang menghargai salah laku,” katanya.

Beliau berkata rakyat tidak mahu penguatkuasaan terpilih atau tindakan simbolik, sebaliknya pasti siasatan berpandukan bukti, pendakwaan berterusan, dan pemulihan kekayaan negara sepenuhnya demi kepentingan negara.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2522092