AM

Nga Kor Ming Santuni Wira Merah, Agih 450 Kotak Limau Mandarin Sempena Tahun Baharu Cina

10/02/2026 07:40 PM

PUTRAJAYA, 10 Feb (Bernama) -- Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming meluangkan masa menyantuni wira dan wirawati merah negara menjelang sambutan Tahun Baharu Cina di Balai Bomba dan Penyelamat Presint 7 di sini, semalam.

Dalam lawatan berkenaan, beliau beramah mesra dengan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi mengeratkan silaturahim serta memberi motivasi kepada mereka untuk terus menjadi tonggak penyelamatan negara.

Pada majlis itu, Nga mengagihkan 450 kotak limau mandarin kepada seluruh warga JBPM sebagai tanda penghargaan dan untuk berkongsi kemeriahan musim perayaan.

“Antara kekuatan dan keunikan negara kita adalah kepelbagaian budaya masyarakat berbilang kaum, agama dan bangsa. 

“Justeru sangat penting untuk kita sentiasa memupuk serta meraikan keunikan ini, khususnya pada setiap musim perayaan, demi mengeratkan lagi silaturahim dengan semangat muhibah,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga JBPM atas komitmen dan pengorbanan mereka berkhidmat demi keselamatan rakyat dan negara tanpa mengira masa.

“Komitmen wira dan wirawati merah yang terus bertugas biarpun pada musim perayaan membuktikan tahap profesionalisme dan dedikasi tinggi dalam memastikan kesejahteraan serta keselamatan rakyat sentiasa terjaga,” katanya.

Nga turut berharap kemeriahan perayaan yang dikongsikan itu dapat menjadi penyuntik semangat kepada mereka, khususnya anggota yang bertugas pada musim perayaan.

Turut hadir Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Nor Hisham Mohammad, Timbalan Ketua Pengarah Datuk Ahmad Izram Osman serta ketua-ketua jabatan JBPM.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2522448