MACHANG, 10 Feb (Bernama) -- Seorang wanita maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 38.5 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Machang Supt Azuhar Md Nor berkata kemalangan dipercayai berlaku 12.53 tengah malam melibatkan sebuah motosikal Honda C70 dan tiga buah kereta, iaitu Proton Wira, Mitsubishi Pajero dan Proton Saga Iswara.
"Siasatan awal mendapati Proton Wira yang dari arah Kota Bharu menuju Kuala Krai dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh bahagian belakang sisi kanan motosikal Honda C70 yang berada di hadapannya.
"Akibat rempuhan itu, Proton Wira terbabas memasuki laluan bertentangan dan merempuh sebuah Mitsubishi Pajero serta Proton Saga Iswara yang berhenti di bahu jalan laluan menghala ke Kota Bharu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Azuhar berkata seorang wanita, iaitu penumpang Proton Wira berusia 23 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan, manakala penunggang motosikal Honda C70 berusia 22 tahun mengalami kecederaan ringan dan telah dihantar ke Hospital Machang untuk rawatan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Insp Khairulanwar Adam di talian 011-1008 5165 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Machang di talian 09-975 1222," katanya.
-- BERNAMA