KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Semakan Daftar Pemilih Tambahan Bulan Disember Tahun 2025 (DPT BLN12/2025) kini dibuka selama 30 hari bermula hari ini hingga 26 Feb depan, kata Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Khairul Shahril Idrus.
Beliau berkata DPT BLN12/2025 yang diperaku dan diwartakan hari ini mengandungi 44,042 nama warganegara berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 31 Dis 2025 yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu.
Selain itu, Khairul Shahril berkata ia turut mengandungi 16,699 pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 4,872 orang pemilih bertukar kategori pengundi atau status.
“SPR menyeru warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 31 Dis 2025 dan mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran kategori pengundi atau status untuk menyemak nama mereka dalam DPT BLN12/2025,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata semakan boleh dibuat melalui portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my, portal rasmi Pejabat Pilihan Raya Negeri http://ppn.spr.gov.my , aplikasi dalam talian https://myspr.spr.gov.my , aplikasi mudah alih MySPR Semak dan talian 03-88927218.
Khairul Shahril turut memaklumkan sekiranya pemilih mendapati nama mereka tidak disenarai dalam DPT BLN12/2025, tuntutan boleh dibuat dengan mengisi Borang C manakala yang berhasrat membuat bantahan terhadap kemasukan nama mereka boleh mengisi Borang D.
Sebarang pertanyaan berkaitan semakan DPT BLN12/2025, katanya boleh diajukan kepada SPR melalui portal rasmi atau menghubungi talian hotline SPR 03-88927218.
-- BERNAMA