EKONOMI

Usaha Perkukuh PMKS Mampu Tingkat Kerjasama Rentas Etnik Dalam Ekosistem Perniagaan

28/01/2026 11:16 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Kerajaan percaya usaha memperkukuh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) akan dapat memastikan kerjasama merentas etnik yang terlibat dalam sesuatu ekosistem atau rantaian nilai dimanfaatkan secara maksimum.

Kementerian Ekonomi dalam jawapan bertulis di Persidangan Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen berkata penskalaan PMKS di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) memberi tumpuan kepada PMKS dari segi mengukuhkan dan menambah baik model perniagaan untuk berkembang dan bersaing dalam pasaran domestik serta global.

“Pelaksanaan strategi ini disokong melalui Dana Pemangkin Penskalaan PKS yang menyediakan pinjaman mudah dengan peruntukan berjumlah RM50 juta dan PRESTIGE 2.0 dengan peruntukan RM20 juta.

“Selain itu, Insentif Kadar Faedah/Keuntungan Penskalaan PMKS berjumlah RM20 juta juga disediakan untuk menyokong pertumbuhan dan peluasan perniagaan,” kata kementerian itu.

Kerajaan juga turut menyediakan program yang masing-masing berjumlah RM10 juta, iaitu program PKS@Bursa bagi membantu memperkukuh ketersediaan PKS untuk disenaraikan di Bursa Malaysia dan program PKS@kses bagi membantu peluasan pasaran PKS dan Program PKS Lestari untuk menggalakkan adaptasi amalan terbaik Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), katanya.

Kementerian Ekonomi berkata demikian bagi menjawab soalan William Leong Jee Keen (PH-Selayang) berhubung sama ada kerajaan telah mengkaji keadaan semasa dalam kerjasama perniagaan antara etnik dari segi rantaian pembekalan atau bentuk kerjasama yang lain.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2518002