EKONOMI

ART Tidak Ubah Hala Tuju Dasar Nuklear Negara - PETRA

29/01/2026 12:22 AM

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika Syarikat (AS) tidak mengubah hala tuju dasar nuklear negara, kata Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).

Menurutnya, kerajaan kekal komited untuk memastikan sebarang kerjasama nuklear yang dijalankan selaras dengan kepentingan nasional, keselamatan negara dan komitmen antarabangsa Malaysia tanpa menjejaskan kedaulatan dasar serta autonomi kerajaan membuat keputusan terbaik untuk negara.

PETRA berkata berdasarkan input daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Artikel 5.3 perjanjian ART tidak mengikat Malaysia untuk bergantung secara eksklusif kepada teknologi AS atau mana-mana negara tertentu.

Sehubungan itu, katanya, Malaysia boleh memperoleh atau membeli reaktor nuklear, bahan api nuklear atau bahan nuklear lain daripada negara-negara selain AS sekiranya tawaran yang dikemukakan adalah lebih kompetitif daripada segi teknikal dan komersial berbanding tawaran oleh AS.

"Kedaulatan dasar tenaga dan nuklear Malaysia kekal terpelihara.

"Malaysia bebas untuk menilai dan memilih rakan kerjasama paling sesuai dengan mana-mana negara pembekal teknologi nuklear termasuk dengan Rusia, China, Perancis dan Korea berdasarkan keupayaan teknologi, kos, tahap keselamatan, pemindahan teknologi serta pematuhan kepada piawaian antarabangsa," katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan dalam laman sesawang Parlimen hari ini.

Kementerian itu menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) berhubung perjanjian ART terutamanya Artikel 5.3 yang mengehadkan perolehan bahan nuklear daripada negara-negara tertentu akan mengubah hala tuju dasar nuklear negara dalam konteks kerjasama dengan Rusia, China, Perancis dan Korea.

Mengulas lanjut, PETRA berkata Artikel 5.3 ART perlu dibaca secara menyeluruh. 

"Walaupun ayat permulaan kelihatan mengehadkan keupayaan Malaysia untuk memperoleh reaktor dan bahan-bahan nuklear daripada negara-negara tertentu, ayat penutup klausa tersebut memberi ruang kepada Malaysia untuk memutuskan perolehan berdasarkan pertimbangan komersial, teknikal dan keselamatan, selaras dengan kepentingan negara.

"Oleh itu, artikel ini tidak menyatakan sebarang halangan untuk Malaysia menjalinkan hubungan dan kerjasama dengan negara-negara pembekal teknologi dalam pelbagai aspek berkaitan tenaga nuklear termasuk latihan, penyelidikan, pembangunan keupayaan, keselamatan nuklear, radiasi dan lain-lain," katanya.

Kerajaan akan terus mengamalkan pendekatan yang seimbang, berkecuali dan berasaskan kepentingan nasional dalam mempertimbangkan sebarang kerjasama dan pembangunan teknologi nuklear selaras dengan komitmen dan keperluan undang-undang antarabangsa, jelas kementerian itu.

-- BERNAMA

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2518018