ABU DHABI, 26 Jan (Bernama-WAM) -- Pihak Berkuasa Akauntabiliti Emiriah Arab Bersatu (UAEAA) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memperkukuh kerjasama dua hala antara kedua-dua negara, lapor Agensi Berita Emiriah (WAM).
MoU itu bertujuan meningkatkan kerjasama dalam usaha membanteras rasuah, mempromosikan ketelusan dan integriti, serta memajukan usaha bersama untuk memerangi rasuah.
Perjanjian itu juga bertujuan memperkukuh kerjasama, menggalakkan pertukaran kepakaran dan menyokong rangka kerja tadbir urus baik selaras dengan amalan terbaik antarabangsa dalam pencegahan rasuah.
Langkah berkenaan menekankan komitmen kedua-dua pihak berkuasa dalam memajukan kerjasama antarabangsa berkaitan akauntabiliti, ketelusan dan usaha pencegahan rasuah di kedua-dua negara.
Perjanjian itu ditandatangani di ibu pejabat UAEAA di Abu Dhabi semasa lawatan rasmi Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, yang disambut oleh Pengerusi UAEAA Humaid Obaid Abu Shibs.
-- BERNAMA-WAM