AM

Gelanggang Futsal Kampung Angkat MADANI Chengal Lempong Di Kuantan Siap Sepenuhnya

28/01/2026 05:05 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Kemudahan gelanggang futsal berbumbung di Kampung Chengal Lempong, Kuantan di Pahang telah siap dibina dan sedia digunakan oleh komuniti setempat khususnya golongan belia.

Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi berkata projek pembinaan gelanggang futsal berbumbung itu direalisasikan melalui peruntukan inisiatif Kampung Angkat MADANI berjumlah RM500,000 bagi Kampung Chengal Lempong.

Beliau berkata usaha itu dapat direalisasikan atas cetusan idea dan ilham Kampung Angkat MADANI oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menumpukan kepada pembangunan merangkumi penambahbaikan infrastruktur asas, kemudahan awam serta pemerkasaan kesejahteraan sosial, pembangunan belia dan daya tahan komuniti terutamanya di kampung.

“Pembinaan gelanggang ini bertujuan menyediakan kemudahan sukan yang lebih selamat dan kondusif kepada komuniti setempat serta menyokong pembangunan aktiviti belia di peringkat kampung selaras dengan pelaksanaan inisiatif Kampung Angkat MADANI.

“Diharapkan kemudahan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan belia setempat sebagai platform membina gaya hidup sihat serta memperkukuh semangat komuniti setempat. Insya-Allah,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Dalam hantaran sama, Ahmad Farhan berkongsi sesi tinjauan beliau ke tapak projek itu yang turut disertai Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Pahang Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri Datuk Razihan Adzharuddin bersama pasukan jabatan berkenaan.

Pada sesi berkenaan, beliau berkata pihak ICU Pahang memberi taklimat berkaitan proses pelaksanaan projek merangkumi fasa sebelum, semasa dan selepas kerja-kerja naik taraf dilaksanakan.

-- BERNAMA 

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2517824