AM

JANM Jayakan Semua Projek Di Kampung Angkat Madani Di Batu Pahat

24/01/2026 10:27 PM

BATU PAHAT, 24 Jan (Bernama) -- Semua projek yang dirancang bagi Kampung Angkat MADANI Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) di Kampung Minyak Beku di sini berjaya disiapkan.

JANM dalam kenyataan hari ini memaklumkan projek berkenaan termasuk menaik taraf pagar kubur, Balai Islam dan tandas Masjid Jamek Haji Arshad bagi menyediakan kemudahan lebih selesa serta kondusif untuk aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan.

“Selain itu, projek menaik taraf saluran paip 19 buah rumah bagi menyelesaikan isu bekalan air bersih yang dihadapi penduduk dalam meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan komuniti turut berjaya disiapkan," menurut kenyataan itu.

Majlis serah siap projek berkenaan berlangsung hari ini yang disempurnakan Akauntan Negara Malaysia Datuk Zainani Jusoh dan turut dihadiri Ahli Parlimen Batu Pahat Onn Abu Bakar.

Sementara itu, Zainani berkata projek itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan setiap sen yang dibelanjakan memberi pulangan sosial bermakna kepada rakyat.

"Kita juga ingin merakamkan penghargaan atas kerjasama strategik agensi kerajaan dan komitmen dalam memantau serta memastikan projek dapat disiapkan dengan sempurna," katanya.

Kampung Minyak Beku telah dipilih dan diluluskan sebagai Kampung Angkat MADANI JANM oleh Kementerian Kewangan pada Mac 2025.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2516420