Oleh Siti Noor Afera Abu & Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) kini memasuki fasa yang lebih menumpukan pembangunan bersasar, selaras dengan pelancaran Pelan Pembangunan Pantai Timur (EDP) 2026-2030 serta kejayaan melepasi sasaran pelaburan dan pewujudan kerja ditetapkan Pelan Induk Wilayah Ekonomi Pantai Timur (EMP 2.0).
Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Baidzawi Che Mat berkata menerusi peralihan itu, ECERDC menjadikan EDP 2026-2030 bukan setakat meneruskan usaha lampau, tetapi satu strategi pertumbuhan lebih bersasar dan berteraskan keutamaan lebih jelas, data yang kukuh serta kewibawaan lebih mantap.
“Kita kini sudah mendapat kepercayaan dan ada rekod prestasi serta angka untuk menyokongnya,” katanya kepada Bernama.
Bagi tempoh 2018 hingga 2025, ECERDC berjaya memperoleh komitmen pelaburan bernilai RM75 bilion serta RM55 bilion pelaburan yang direalisasikan, sekali gus melebihi sasaran asal masing-masing pada RM70 bilion dan RM49 bilion.
Tempoh sama turut menyaksikan pewujudan lebih daripada 79,000 pekerjaan di serata Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan membuktikan keyakinan pelabur yang semakin ketara terhadap prospek jangka panjang wilayah.
Dalam pada itu, Baidzawi berkata aspek keterjaminan makanan juga menjadi antara teras pelan baharu berkenaan.
Bagi menyokong projek berteraskan pertanian, penternakan dan penanaman, ECERDC telah mengenal pasti kira-kira 20,000 hektar tanah untuk dibangunkan selain syarikat peneraju bagi mengetuai projek berskala besar.
Pada masa sama, katanya, Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang siap dijangka dapat membentuk semula corak perjalanan di wilayah itu dan membolehkan ECERDC mempromosikan segmen baharu seperti pelancongan kenderaan rekreasi (RV) dan pengalaman pelancongan di kawasan pulau.
“Kita mahu pelancong bercuti lebih lama di sini. Kita juga mahukan hotel yang lebih berkualiti, pengalaman lebih baik serta nilai-nilai yang lebih bermakna untuk wang yang dibelanjakan.
“Deretan pulau di sepanjang pantai timur seperti Redang, Perhentian, Tioman dan Rawa adalah bertaraf dunia. Jika dapat diuruskan, diselaraskan dengan baik serta promosi yang tepat, ini akan menarik pelaburan,” katanya.
-- BERNAMA