Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Ringgit terus melonjak bagi hari ketiga berturut-turut, ditutup pada paras 3.9175 berbanding dolar AS pada Rabu apabila sentimen risiko yang bertambah baik dan penurunan dolar AS terus menyokong mata wang tempatan itu.
Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 3.9175/9235 berbanding dolar AS daripada paras penutup 3.9500/9555 pada Selasa. Ini merupakan paras penutup paling kukuhnya sejak mata wang tempatan itu mencecah paras 3.9150 pada April 2018.
Berbanding tempoh yang sama tahun lepas, ringgit telah meningkat sebanyak 10.77 peratus berbanding dolar AS.
Ketua ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kenaikan ringgit disokong oleh jangkaan bahawa Rizab Persekutuan AS mungkin akan mengambil pendekatan dasar yang lebih akomodatif susulan petanda pertumbuhan sederhana ekonomi Amerika Syarikat (AS).
“Petunjuk ekonomi AS yang lemah, terutamanya data keyakinan pengguna bagi Januari, meningkatkan jangkaan bahawa mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada lewat malam ini mungkin mencapai dasar yang lebih memihak kepada kadar lebih rendah.
“Ini boleh memberi ruang kepada mata wang pasaran sedang pesat membangun, termasuk ringgit, untuk terus mengukuh dalam jangka masa terdekat ini,” katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam berkata peningkatan nilai ringgit juga disebabkan oleh penurunan Indeks Dolar AS (DXY), yang jatuh 0.93 peratus kepada 96.026 mata, mencerminkan kelemahan berterusan mata wang AS itu susulan perubahan jangkaan terhadap tinjauan dasar monetari AS.
Berbanding mata wang utama lain, ringgit meningkat berbanding pound British kepada 5.4011/4093 daripada 5.4103/4178, naik berbanding euro kepada 4.6955/7027 daripada 4.6958/7023, dan menokok berbanding yen Jepun kepada 2.5652/5692 daripada 2.5691/5730 pada Selasa.
Berbanding mata wang negara-negara ASEAN lain, unit tempatan mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.1072/1122 daripada 3.1174/1219, meningkat berbanding baht Thai kepada 12.6135/6389 daripada 12.7247/7478, melonjak berbanding rupiah Indonesia kepada 234.2/234.7 daripada 235.5/236.0, dan menokok berbanding peso Filipina kepada 6.67/6.68 daripada 6.68/6.70 sebelumnya.
-- BERNAMA