Oleh Nur Atiq Maisarah Suhaimi
KUALA LUMPUR, 25 Jan (Bernama) -- Nasi goreng, layanan mesra dan masyarakat berbilang kaum Malaysia meninggalkan kesan mendalam kepada beberapa pelajar dari Amerika Syarikat (AS) yang menyertai Program Kennedy-Lugar Youth Exchange and Study (KL-YES) Abroad 2025-2026.
Seorang daripada pelajar itu, Sarah Yara, 15, dari New Mexico, berkata kehangatan dan layanan baik keluarga angkatnya, bersama-sama masyarakat majmuk Malaysia, membuatkan beliau jatuh cinta dengan negara ini.
“Saya sangat sayangkan keluarga angkat saya kerana mereka menunjukkan betapa baiknya orang di sini. Penduduknya adalah perkara nombor satu yang saya suka,” katanya kepada Bernama ketika Majlis Pelepasan Program KL-YES Abroad 2025-2026 pada Selasa.
Sarah, yang menggemari nasi goreng, kini tinggal bersama keluarga angkatnya di Bandar Saujana Putra dan bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Saujana Putra. Beliau turut melahirkan rasa kagum terhadap keindahan alam semula jadi Malaysia.
“Saya sangat suka pemandangannya. Saya telah melihat alam semula jadi dan kawasan air semula jadi yang sangat indah. Bandar di sini juga sangat cantik dan saya suka bersiar-siar di Malaysia. Terima kasih kerana begitu baik dan mesra. ‘Terima kasih Malaysia, peace and love’,” katanya.
Menggayakan baju kurung moden dan berpenampilan anggun seperti gadis Melayu, Kylie Bui, 17, hampir tidak kelihatan seperti remaja Amerika yang menyertai program KL-YES Abroad 2025-2026 selama 10 bulan.
Kylie, dari Waynesboro, Pennsylvania, adalah antara empat pelajar dari Amerika Syarikat yang menyesuaikan diri dengan kehidupan di Malaysia sejak tiba pada Ogos tahun lalu sebelum dijangka pulang ke tanah airnya pada Mei ini.
Tidak lagi meminati spageti atau keju, Kylie berkata beliau kini menggemari “ayam gepuk”, hidangan Indonesia yang semakin popular di Malaysia, selepas diperkenalkan oleh seorang rakan.
“Saya sangat suka Malaysia. Saya terutamanya menyukai makanannya dan saya rasa orang di sini sangat mesra dan baik hati. ‘Saya sangat suka ayam gepuk’,” katanya.
Kini tinggal bersama keluarga angkat di Kota Kemuning, Shah Alam, dan bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Kemuning, Kylie berkata beliau juga sedang belajar bertutur dalam Bahasa Melayu melalui kem bahasa dan sesi bimbingan.
“Segala-galanya tentang Malaysia saya sangat suka. Saya ingin katakan “aman dan sayang”, atau peace and love,” katanya.
Seorang lagi peserta, JD Liu, 17, dari California yang tinggal di Semenyih berkata masyarakat tempatan dan makanan telah menambat hatinya sepanjang enam bulan berada di Malaysia, dengan roti canai menjadi kegemarannya.
“Saya rasa perkara yang saya paling suka tentang Malaysia ialah orangnya dan makanannya. Semua orang di sini sangat mesra dan baik,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pelajar, Omar Drieza, 17, dari Arizona yang kini tinggal di Kuantan, Pahang, sudah pun mampu bertutur dalam Bahasa Melayu selepas hanya sebulan berada di Malaysia.
Keempat-empat pelajar berkenaan ditaja sepenuhnya oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat dengan sokongan Kedutaan AS di Malaysia serta Yayasan AFS Antarabudaya Malaysia.
-- BERNAMA