SUKAN

JDT Menang Tipis Ke Atas PDRM, Buat Perhitungan Dengan Melaka Di Suku Akhir

24/01/2026 11:01 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jan (Bernama) -- Juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) menepati ramalan melangkah ke suku akhir Piala Malaysia 2025/2026 selepas menang tipis ke atas PDRM FC 1-0 dalam aksi timbal balik pusingan 16 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, hari ini. 

Keputusan dicatat di hadapan 11,150 penyokong di venue keramat mereka itu menyaksikan JDT mengesahkan kemaraan ke suku akhir dengan kemenangan agregat 11-1 dan bakal bertemu Melaka FC yang  melakar kejutan menyingkirkan Sabah FC 5-2 secara agregat.

Juara lima kali itu, yang menguasai hampir 80 peratus perlawanan, melancarkan asakan demi asakan sebaik wisel permulaan dibunyikan pengadil, namun beberapa peluang terhidang gagal disudahkan, termasuk tandukan Nacho Mendez yang dinafikan penjaga gol lawan, Nor Hakeem Hamidun, pada minit ke-41.

Memasuki babak kedua, benteng pertahanan skuad ‘The Cops’ akhirnya berjaya ditembusi oleh pasukan Harimau Selatan menerusi sepakan pemain dari Sepanyol Teto Martin pada minit ke-66 yang menyempurnakan lorongan pendek pemain gantian dari Brazil, Jairo.

Tidak cukup dengan itu, pasukan kendalian Francisco Javier Munoz Llompart terus mengasak PDRM bagi menambah gol namun kegagalan penyudah menyaksikan tuan rumah terpaksa berpuas hati dengan gol tunggal sehingga tamat perlawanan.

Selepas tumpas 0-1 kepada Penang FC pada aksi pertama, 18 Jan lepas, Kuching City FC berjaya memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri dengan bangkit menumpaskan pasukan lawan 2-0, sekali gus menempah slot ke suku akhir dengan agregat 2-1.

Penyerang dari Cameroon, Ronald Ngah Wanja, muncul wira tuan rumah apabila menjaringkan gol pada minit kedua masa kecederaan separuh masa pertama selepas memanfaatkan kesilapan pertahanan pelawat, sekali gus memastikan ‘The Cats’ menunjukkan jalan keluar buat ‘Harimau Kumbang’.

Terdahulu, pasukan kendalian Aidil Sharin Sahak membuka tirai jaringan menerusi gol yang disumbangkan Gabriel Nistelrooy Tamin seminit sebelumnya.

Kuching City akan bertemu pasukan dari Brunei, DPMM FC, yang melangkah ke pusingan seterusnya dengan mengatasi Kelantan Red Warrior FC 3-1 secara agregat, juga hari ini.

Aksi kedua di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, berakhir dengan keputusan seri 1-1, dengan Kelantan Red Warrior terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah melalui jaringan pemain pertahanan, Abdul Latiff Suhaimi, pada minit kelapan.

Walau bagaimanapun, DPMM yang dikendalikan jurulatih dari Scotland, James McAllister, bangkit menyamakan kedudukan menerusi tonggak serangan, Muhammad Hakeme Yazid Said, tiga minit kemudian.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2516407