ALOR GAJAH, 25 Jan (Bernama) -- Sebanyak 4,003 wanita di Melaka telah menjalani saringan ujian Human Papillomavirus (HPV) DNA secara percuma yang dilaksanakan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dalam tempoh 2019 hingga tahun lepas.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Nordin berkata daripada jumlah itu, sebanyak 211 wanita didapati positif HPV dan kebanyakan mereka berusia 40 tahun ke atas.
Beliau berkata pada tahun ini, LPPKN negeri menyasarkan 1,000 wanita untuk disaring melalui pelbagai pendekatan, termasuk program outreach oleh Pusat Keluarga Bergerak LPPKN.
"Setakat ini, jumlah wanita yang menjalani ujian saringan kanser serviks di Melaka masih rendah, namun ia meningkat dari tahun ke tahun kerana kesedaran berkaitan pemeriksaan awal penyakit itu semakin tinggi.
Sebahagian golongan wanita sebelum ini takut untuk menjalani ujian saringan kerana fobia, manakala ada pula yang tidak menyedari gejala atau simptom yang mereka hadapi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Serviks Peringkat Negeri Melaka 2026 di Kampung Orang Asli Bukit Payung, yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taboh Naning, Datuk Zulkiflee Mohd Zin.
Kalsom berkata ujian saringan kanser serviks kini boleh dilakukan sendiri oleh golongan wanita menggunakan Kit Ujian HPV DNA yang dibekalkan LPPKN, yang lebih mudah dan tidak menyakitkan.
Beliau berkata keputusan ujian boleh diperoleh dalam tempoh dua minggu dan wanita juga boleh melakukan saringan di Klinik Nur Sejahtera LPPKN negeri selain melalui Klinik Bergerak LPPKN semasa program outreach secara berperingkat di seluruh negeri.
"Saringan awal bagi mengesan kanser serviks disarankan terutamanya untuk wanita berusia 30 tahun ke atas kerana mereka merupakan kumpulan paling berisiko.
Usaha ini amat penting supaya langkah pencegahan dan rawatan sesuai dapat dilaksanakan sekiranya wanita yang disaring dikesan positif HPV," katanya.
Terdahulu, sebanyak 50 wanita daripada masyarakat Orang Asli di kampung berkenaan menjalani saringan ujian HPV DNA pada program itu.
Katanya program berkenaan akan diperluaskan ke kampung Orang Asli lain di negeri itu bagi memberi pendedahan mengenai ujian HPV DNA dan menggalakkan golongan wanita menjalani saringan secara berkala.
-- BERNAMA