AM

Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah Bangga Pencapaian PPPM

25/01/2026 07:58 PM

JITRA, 25 Jan (Bernama) -- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menzahirkan kebanggaan terhadap pelbagai pencapaian Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) sepanjang penubuhannya yang lebih daripada 109 tahun.

Sebagai Penaung Diraja PPPM, baginda bertitah bahawa keteguhan semangat, iltizam dan kejayaan cemerlang persatuan dalam pelbagai program, termasuk peringkat global, amat membanggakan.

“Saya dimaklumkan bahawa pelbagai pencapaian luar biasa telah dicapai sepanjang usia PPPM yang mencecah 109 tahun pada tahun lalu. Antaranya Program Jade Camp, yang julung kali diadakan secara berskala besar di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), melibatkan 1,000 anak gadis dan pemimpin.

“Lebih membanggakan, program ini turut melibatkan golongan B40 dan komuniti Orang Asli, sekali gus mencerminkan komitmen PPPM memastikan keterangkuman dan perpaduan ahli,” titah baginda.

Titah baginda disampaikan sempena Sambutan Hari Peringatan Sedunia Persatuan Pandu Puteri Malaysia 2026 (GGAM World Thinking Day 2026 – Our Friendship) di Dewan Wawasan di sini, hari ini.

Raja Zarith Sofiah turut menyebut program IDG bertemakan Girls’ Advocacy Circles: Empowering Girls’ Voices, yang melibatkan lebih 2,000 peserta, memfokuskan kepada keselamatan digital, anti-buli, kesihatan mental dan perkahwinan bawah umur.

Titah baginda, program itu membantu meningkatkan kesedaran dan pendidikan dalam kalangan peserta.

“Melangkah usia ke-110 tahun, PPPM terus komited memperkasa anak-anak gadis agar menjadi warga yang berilmu, berwibawa serta berakhlak mulia,” titah baginda.

Yang Dipertua PPPM, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata generasi masa kini perlu berfikir secara global dan berpegang teguh kepada nilai kemanusiaan sejagat berpaksikan Rukun Negara.

Beliau menekankan setiap ahli PPPM harus menghargai hubungan positif, khususnya dalam konteks keutuhan keluarga, keterangkuman dan perpaduan kaum.

“Negara kita berbilang bangsa dan agama, perpaduan amat penting. Kita perlu bersatu teguh, bercerai roboh,” katanya.

Turut hadir Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff dan Ketua Pesuruhjaya PPPM Datuk Yeoh Soo Keng.

-- BERNAMA

 

 

KEYWORDS
     
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2516637