AM

Isu Ladang Ternakan Babi: PM Anwar Syor Projek Dibatalkan Dahulu, Pertimbang Kawasan Baharu

23/01/2026 04:22 PM

BANGI, 23 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesyorkan supaya projek ternakan babi berpusat di Bukit Tagar, Selangor yang menimbulkan keresahan masyarakat setempat dibatalkan terlebih dahulu ataupun dipindahkan di kawasan baharu yang lebih baik.

Anwar berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari bagi mendapatkan penyelesaian terbaik berhubung isu itu.

Beliau berkata isu berkenaan dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikannya hari ini, susulan ia menimbulkan keresahan rakyat di kawasan tersebut. 

“Saya akan bincang dengan Menteri Besar Selangor dan bagi pandangan supaya kalau boleh batalkan dulu projek itu dan pertimbangkan kalau boleh kawasan yang lebih baik dengan syarat teknologi itu terjamin. 

“Kalau pun teknologi itu terbaik, tetapi di kawasan yang menimbulkan kesan (keresahan) itu, tentu tidak wajar diteruskan,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al Amin, Seksyen 8, Bandar Baru Bangi di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata meskipun isu tersebut di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri Selangor, Kerajaan Persekutuan tetap prihatin kerana perkara berkenaan menimbulkan keresahan umum.

"Kita tidak boleh pandang ringan dan menganggap perkara ini boleh diselesaikan dengan mudah,” kata beliau.

Sebelum ini, Amirudin dilapor berkata Kerajaan Negeri Selangor masih belum mengenal pasti lokasi alternatif bagi menggantikan Bukit Tagar sebagai tapak baharu pemindahan ladang ternakan babi berpusat di negeri itu.

Bagaimanapun, Amirudin berkata kerajaan negeri kekal terbuka dan memberi ruang kepada semua pihak untuk sebarang perbincangan bagi memastikan pelaksanaan sistem ternakan yang lebih teratur serta komprehensif.

Pada 10 Jan lepas, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan dukacita dan tidak bersetuju dengan perancangan kerajaan negeri yang membenarkan operasi sementara penternakan babi di Tanjong Sepat, Kuala Langat, bermula tahun ini, sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar pada 2030.

Baginda bertitah pihak istana tidak bersetuju terutamanya wujud kemungkinan membabitkan pengenalan babi berskala besar dan berorientasikan eksport ke luar negara.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2515921