AM

Sultan Pahang Tangguh Perjalanan Bantu Mangsa Kemalangan Di Temerloh

23/01/2026 10:36 PM

KUANTAN, 23 Jan (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sekali lagi memperlihatkan keprihatinan tinggi apabila baginda menangguhkan sebentar perjalanan bagi membantu mangsa kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) berhampiran susur keluar Plaza Tol Temerloh hari ini. 

Kesultanan Pahang menerusi hantaran di laman Facebook memaklumkan Al-Sultan Abdullah ketika itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuantan.

Semasa tiba di lokasi kejadian, baginda melihat kemalangan melibatkan sebuah motosikal dengan sebuah kereta.

“Bimbang dengan kecederaan yang dialami penunggang motosikal terbabit menyebabkan baginda menitahkan agar kereta polis pengiring membawa mangsa ke Hospital Temerloh dengan segera untuk mendapatkan rawatan,” menurut hantaran itu.

Sultan Pahang turut berkenan turun dari kenderaan untuk melihat serta bertanya sendiri situasi mangsa dan sebuah lagi kereta terlibat sebelum meneruskan perjalanan pulang ke Kuantan. 

-- BERNAMA

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2516124