PUTRAJAYA, 23 Jan (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan terus menjalankan sesi libat urus bagi menambah baik Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB), kata menterinya Nga Kor Ming.
Beliau berkata pihaknya akan berbincang bersama penduduk setempat, ahli akademik, wakil rakyat serta pakar industri bagi memastikan setiap pandangan diambil kira dalam proses merangka RUU itu.
“Tujuan RUU PSB ini adalah untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat di kawasan bandar yang daif dan usang, menjana semula sosioekonomi setempat serta memastikan hak pemilik asal terjamin dalam proses pembaharuan semula bandar.
“Pihak kementerian akan terus meneliti setiap maklum balas yang diterima dan menambah baik RUU tersebut bagi memastikan hak pemilik asal dapat dijamin secara lebih menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan susulan keputusan Jemaah Menteri hari ini menarik semula RUU yang telah dibaca di Dewan Rakyat bagi membolehkan penambahbaikan menyeluruh dilakukan sebelum ia dibentang semula.
Nga berkata RUU PSB akan dibentangkan semula dengan format yang ditambah baik selepas proses tersebut dimuktamadkan.
"KPKT kekal komited untuk memastikan RUU PSB yang bakal dibentangkan semula nanti menyokong agenda pembangunan semula bandar yang lebih selamat, terancang, mampan dan berdaya huni, selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI," katanya.
Terdahulu, Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil pada sidang media pasca-Mesyuarat Kabinet hari ini berkata kerajaan secara dasar bersetuju bahawa wujud keperluan untuk menambah baik RUU itu bagi membolehkan isu perumahan di kawasan bandar khususnya yang berkait dengan miskin bandar diatasi secara tuntas dan adil.
Keputusan itu, katanya mengambil kira pandangan Ahli-Ahli Parlimen yang membahaskan RUU PSB di Dewan Rakyat serta maklum balas daripada rakan-rakan UMNO dan anggota Jemaah Menteri sendiri.
Pada 20 Jan lepas, Nga berkata KPKT bersedia membentangkan semula RUU PSB 2025 untuk bacaan kali kedua memandangkan ia penting untuk penduduk yang terkesan dengan bangunan daif, usang serta membahayakan.
Pada 28 Ogos lepas, bacaan kali kedua RUU berkenaan telah dibentang namun tidak dibahas sebelum ditangguhkan ke persidangan berikutnya.
RUU itu adalah inisiatif di bawah KPKT dan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa yang dirancang untuk memperbaharui kawasan bandar yang daif, usang serta tidak selamat di Malaysia.
-- BERNAMA