Oleh Nurhafizah Tan
KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Di media sosial, pilates sering digambarkan sebagai aktiviti yang kelihatan tenang, estetik dan tampak mudah dilakukan.
Namun di sebalik visual itu, pilates sebenarnya bukan sekadar senaman regangan tetapi satu aktiviti yang melatih otot mikro dan seterusnya membantu tubuh berfungsi dengan lebih baik dalam jangka panjang.
Menurut jurulatih pilates Azalia Abd Rahman, antara kebaikan utama senaman itu ialah pengukuhan otot teras yang meliputi bahagian tengah tubuh dan menyokong hampir semua pergerakan harian. Teras yang kuat meningkatkan kestabilan seseorang semasa duduk, berdiri, membongkok dan mengangkat.
pic-2
Azalia yang berkhidmat di studio Pilates Collective, berkata senaman itu turut membantu membaiki postur tubuh, selain memudahkan pergerakan asas seperti bangun dari katil, mendukung anak serta mengurangkan risiko sakit belakang akibat duduk terlalu lama.
"Senaman pilates pada dasarnya direka untuk menguatkan otot, terutamanya otot-otot kecil yang biasanya jarang digunakan. Berbeza dengan senaman di gim yang lebih menumpukan pada otot besar seperti biseps atau triseps, pilates fokus pada otot-otot halus yang menyokong kestabilan tubuh,” katanya kepada Bernama.
Azalia berkata pilates menekankan pergerakan terkawal dan berperingkat, menjadikannya sesuai untuk sesiapa sahaja termasuk mereka yang baru berjinak-jinak dengan senaman dan individu yang sedang pulih daripada kecederaan, berbanding senaman kardio yang berintensiti tinggi dan menumpukan pada kekuatan jantung serta pembakaran lemak.
pic-3
"Walaupun lebih popular dalam kalangan wanita, sebenarnya lelaki juga boleh buat, cuma disebabkan konsepnya yang kelihatan agak feminin dan 'girly' membuatkan mereka kurang tertarik. Pakaian juga tidak menjadi masalah untuk wanita Muslimah selagi tidak mengganggu pergerakan," katanya.
Anak kelahiran Kedah itu berkata bagi pemula, mereka dilatih gerakan asas seperti “squat”, “lunge” dan “plank” disokong peralatan khas seperti “reformer” dan chair, bagi memastikan setiap pergerakan dilakukan dengan betul, sekali gus mengelakkan kecederaan di samping membantu tubuh membina kekuatan.
“Studio pilates juga bukan sekadar tempat bersenam, sebaliknya ruang yang selamat, mesra dan inklusif. Ramai peserta bermula sendirian, tanpa rakan dan tanpa pengalaman, namun akhirnya menemui komuniti yang menyokong serta menggalakkan penglibatan mereka,” katanya.
pic-4
Sementara itu, berkongsi pengalaman hampir dua tahun mengamalkan senaman berkenaan, Dr Nur Rafidah Mohamed Ali, 35, berkata beliau memilih untuk konsisten menjalani aktiviti tersebut kerana lebih sesuai dengan jadual kerjanya yang sibuk selain boleh dilakukan di tempat tertutup tanpa mengira waktu dan cuaca.
"Sebelum mencuba pilates, saya pernah mencuba senaman di gim, joging dan mendaki tetapi aktiviti tersebut mudah terganggu oleh cuaca dan jadual kerja. Senaman ini lebih sesuai dan mendorong saya untuk lebih berdisiplin serta komited terhadap rutin senaman," katanya, menambah senaman itu juga meningkatkan keyakinan dirinya.
Suri rumah, Ili Izzati Setu, 37, pula berkongsi bahawa senaman itu banyak membantunya mengatasi masalah sakit belakang yang semakin teruk selepas melahirkan anak ketiganya.
pic-5
Beliau juga menyifatkan sesi senaman selama 45 minit sebagai “me time” yang membolehkannya memberi tumpuan kepada tubuh dan kesihatan mental, selain berinteraksi dengan ibu-ibu lain dan secara tidak langsung memperluas jaringan sosialnya.
Pilates berasal daripada kaedah latihan yang dibangunkan oleh Joseph Pilates, seorang warga Jerman, pada awal abad ke-20. Dikenali sebagai “Contrology”, kaedah ini menekankan kawalan pergerakan, pernafasan dan kesedaran tubuh sebelum berkembang menjadi senaman menyeluruh yang diamalkan di seluruh dunia.
-- BERNAMA