Oleh Atira Khalisha Nor Adnan
KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Bagi kebanyakan orang, kain perca hanyalah lebihan kain tidak bernilai, tetapi di mata Fasiha Mohd Noh ada potensi besar di sebalik bahan itu yang selalunya terbiar mengumpul habuk atau terbuang begitu sahaja.
Menghasilkan kraf daripada perca kain sejak Ogos lepas, Fasiha, 35, berkata idea tersebut tercetus secara tidak sengaja apabila melihat lebihan kain daripada kegiatan menjahit pakaian oleh ibu dan kakaknya kian “membukit”.
“Apabila melihat lebihan kain semakin banyak, timbul idea untuk mengolah bahan tersebut menjadi produk lain yang boleh digunakan. Antara paling mudah (dihasilkan) ialah pelapik gelas.
“Lebihan kain daripada pembuatan sehelai baju dapat menghasilkan antara lima ke 10 keping pelapik,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Festival Upcycle Batik Wear, di sini baru-baru ini.
pic-2
Menurut wanita itu, beliau hanya mengambil masa kira-kira 30 minit untuk menghasilkan 10 keping pelapik gelas sementara satu pengikat rambut pula sekitar setengah jam.
Menggunakan kain batik Terengganu, usahawan itu berkata fabrik tersebut membawa nilai tambah tersendiri memandangkan motif batik bukan sahaja indah dipandang tetapi turut mencerminkan warisan seni, kebanggaan serta identiti budaya negara ini.
“Produk kitar tinggi ini secara tidak langsung dapat menarik minat generasi sekarang untuk memiliki batik kerana sifatnya yang 'timeless'. Semakin lama coraknya semakin indah, terutama batik Terengganu yang sememangnya berunsur moden,” katanya.
pic-3
Dijual pada harga RM4 hingga RM20, ibu kepada dua cahaya mata ini menganggarkan lebih 100 keping kain perca berjaya “diselamatkan” daripada dibuang sejak beliau memulakan perniagaan itu yang kian mendapat sambutan.
Sementara itu, pengasas La Mode Fashion Academy Jessica Lee melihat usaha mengitar tinggi batik dan fabrik terpakai sebagai usaha penting dalam mendidik masyarakat, khususnya generasi muda, akan kepentingan kelestarian serta apresiasi seni kraf tempatan.
Berpegang pada pandangan itu, Lee, 63, berkata pelajar di akademinya bukan sahaja didedahkan kepada kemahiran menjahit bahkan turut diajar melihat lebihan kain sebagai bahan bernilai untuk diolah menjadi pelbagai produk kraf seperti beg duit, beg tangan dan aksesori kecil.
pic-4
“Kami berusaha mengelakkan pembaziran sepenuhnya. Kain yang diterima, ada digunakan untuk sesi pengajaran manakala selebihnya disumbangkan kepada individu atau institusi yang memerlukan.
"Walaupun hanya cebisan kecil, setiap kepingan kain masih boleh diolah menjadi sesuatu yang berguna dan bernilai tinggi,” katanya, menambah sesiapa sahaja boleh belajar menjahit dan membuat kraf, sama ada sebagai hobi ataupun untuk menjana pendapatan sampingan.
-- BERNAMA