KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Sejak ditubuhkan pada 1961, Ajinomoto (Malaysia) Berhad (AMB) berkembang seiring rakyat Malaysia dengan pemahaman mendalam terhadap budaya dan cita rasa tempatan, berteraskan falsafah berterusannya, “Makan Sihat, Hidup Sihat”, bagi menggalakkan gaya hidup lebih sihat dan seimbang.
Dalam satu kenyataan, AMB berkata visinya,“Membawa Kebahagiaan dengan Cita Rasa yang Menyatukan, Menginspirasi Kreativiti Makanan dalam Kehidupan Anda”, dizahirkan menerusi pelbagai inisiatif yang memudahkan penyediaan masakan harian yang bukan sahaja lazat, malah lebih sihat dan berkhasiat.
“Dengan memanfaatkan kepakaran global Kumpulan Ajinomoto dalam bidang AminoScience, syarikat itu menghasilkan rasa yang meningkatkan kelazatan sambil menyokong keperluan pemakanan sihat.
“Melalui pendedahan mengenai Smart Salt menggunakan Penambah Perasa AJI-NO-MOTO® hingga program hidangan seimbang, rakyat Malaysia dapat menikmati hidangan yang sihat dan lazat,” menurut kenyataan itu.
Selain memperkenalkan produk perencah inovatif, AMB turut menetapkan penanda aras kecemerlangan makanan halal apabila menjadi syarikat Jepun pertama memperoleh pensijilan halal pada 1965.
Selama bertahun-tahun, kepakaran Halal AMB telah berkembang melangkaui sempadan di 36 negara, terutamanya di Timur Tengah, di mana syarikat ini mempunyai lebih 40 tahun pengalaman dalam menyediakan penyelesaian makanan yang dipercayai.
Di peringkat antarabangsa, AMB dikenali sebagai penyedia solusi makanan halal yang dipercayai, menggabungkan pematuhan ketat terhadap piawaian halal dengan kefahaman mendalam terhadap budaya makanan tempatan dan serantau.
“Kepakaran ini membolehkan syarikat menawarkan penyelesaian praktikal, relevan dan mudah disesuaikan, sekali gus menyokong keperluan perniagaan makanan serta rakan strategik sambil menghormati tradisi dan memenuhi keperluan nutrisi moden,” katanya.
AMB berkata usaha itu sejajar dengan Visi 2030 Kumpulan Ajinomoto yang menyasarkan pengurangan impak alam sekitar sebanyak 50 peratus serta memanjangkan jangka hayat sihat satu bilion penduduk dunia.
Di Malaysia, ketika ramai mencari pendekatan realistik untuk meningkatkan kesihatan tanpa meninggalkan makanan kegemaran, AMB menyokong perjalanan itu melalui penambahbaikan nutrisi produk, perkongsian ilmu memasak, panduan nutrisi sukan dan pelaksanaan program berasaskan komuniti.
AMB berkata kesihatan dan kesejahteraan kekal sebagai teras pendekatan kemampanannya menerusi pelbagai inisiatif termasuk Projek Smart Salt, Kempen Sahur Seri-Aji®, kerjasama dengan atlet kebangsaan melalui The Ajinomoto Malaysia VICTORY PROJECT, serta program pendidikan menerusi Science Castle Collaboration.
Dari segi penglibatan komuniti, AMB terus memperkukuh sokongan setempat melalui program sekolah, inisiatif bantuan makanan, bengkel pembangunan kemahiran dan kerjasama jangka panjang bersama organisasi komuniti.
Menurut kenyataan itu, usaha berkenaan mencerminkan semangat kebersamaan rakyat Malaysia, sekali gus mengukuhkan hakikat bahawa kesejahteraan menjadi lebih bermakna apabila dikongsi bersama.
Menerusi solusi rasa, produk halal yang diyakini serta inisiatif pendidikan berterusan, AMB terus menginspirasikan rakyat Malaysia untuk mengutamakan kesihatan melalui pilihan yang lebih baik dalam setiap hidangan.
“Gaya hidup sihat tidak perlu rumit atau terlalu membataskan. Ia boleh bermula secara sederhana, dengan menikmati hidangan yang digemari sambil membuat pilihan bijak demi kesejahteraan jangka panjang.
“Berpandukan matlamat untuk menyumbang kepada kesejahteraan manusia, masyarakat dan planet melalui AminoScience, AMB kekal komited membantu rakyat Malaysia dan komuniti serantau menikmati hidangan yang lazat, halal, berkhasiat dan bermakna setiap hari,” katanya.
-- BERNAMA