Oleh V. Sankara
KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia semakin meluas, termasuk sebagai sumber rujukan maklumat kesihatan dan gaya hidup, namun orang ramai diingatkan agar tidak menjadikan cadangan digital sebagai asas tunggal dalam membuat keputusan rawatan estetik.
Pengamal perubatan estetik dan regeneratif Dr Mohammad Syafiq Lokman berkata walaupun AI mampu memberikan maklumat umum, teknologi itu tidak dapat menggantikan penilaian klinikal sebenar yang dilakukan oleh doktor.
“AI tidak berjumpa pesakit, tidak melakukan pemeriksaan fizikal dan tidak menilai faktor penting seperti tekstur kulit, struktur wajah, sejarah kesihatan serta keadaan emosi seseorang. Semua ini mempengaruhi keputusan rawatan,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.
Jelas pakar yang bertugas di sebuah klinik swasta di Kota Damansara, Selangor itu, rawatan estetik bukan sekadar prosedur kosmetik, sebaliknya merupakan satu intervensi perubatan yang memerlukan penilaian risiko dan manfaat secara individu.
“Setiap individu mempunyai keadaan kulit, anatomi dan latar belakang kesihatan yang berbeza. Apa yang sesuai untuk seseorang belum tentu selamat atau berkesan untuk orang lain,” katanya sambil menegaskan keputusan rawatan memerlukan perbincangan dua hala antara doktor dan pesakit, bukan mengikut trend atau cadangan dalam talian.
pic-2
Menurut Dr Mohammad Syafiq, tanpa penilaian klinikal, seseorang berisiko mengalami komplikasi jangka pendek ataupun panjang.
Dalam konteks ini katanya doktor memainkan peranan memastikan rawatan yang dicadangkan benar-benar perlu, selamat dan beretika, termasuk menolak permintaan pesakit jika didapati tidak sesuai dari sudut perubatan.
Berkelulusan Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan daripada Mansoura University, Mesir, beliau yang berpengalaman hampir lapan tahun dalam bidang itu, berkata sekalipun begitu, AI boleh dijadikan sebagai asas pendidikan awal bagi mereka yang langsung tidak mempunyai pengetahuan tentang rawatan estetik.
Pada masa sama, beliau turut menekankan kepentingan literasi kesihatan awam agar orang ramai lebih berhati-hati sebelum menjalani sebarang rawatan estetik.
“Perkara asas seperti status kesihatan keseluruhan, sejarah perubatan, pengambilan ubat serta risiko rawatan perlu difahami terlebih dahulu. Rawatan estetik sepatutnya membantu individu menua secara sihat dan yakin, bukan mengejar hasil segera,” katanya yang pernah merawat beberapa artis tanah air, antaranya penyanyi Mas Idayu dan Ziana Zain.
-- BERNAMA