KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) -- Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mempertaruhkan barisan pemain muda pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2026 pada 3 hingga 8 Feb depan di Qingdao, China.
BAM memaklumkan perseorangan lelaki negara Justin Hoh dan pasangan Wan Muhammad Arif Shaharuddin Wan Junaidi-Yap Roy King akan menjadi sandaran utama kem Malaysia pada kejohanan itu.
Selain Justin, BAM turut menyenaraikan Aidil Sholeh Sadikin, Eogene Ewe dan Kong Wei Xiang.
Bagi acara beregu lelaki, Wan Muhammad Arif-Roy King turut dibantu Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri dan Aaron Tai-Kang Khai Xing.
Skuad wanita pula, BAM membariskan perseorangan wanita yang diketuai K Letshanaa, diikuti Wong Ling Ching, Siti Zulaikha Azmi dan Oo Shan Zi manakala gandingan Ong Xin Yee-Carmen Ting, Chong Jie Yu-Vanessa Ng dan Cheng Sui Hui-Tan Zhing Yi menggalas cabaran beregu wanita.
Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan Beregu Negara Rexy Mainaky berkata ketiadaan beregu utama negara seperti Aaron Chia- Soh Wooi Yik dan Pearly Tan-M Thinaah pada kejohanan kali ini, kerana memberi tumpuan kepada kejohanan All England pada Mac nanti.
“Sekurang-kurangnya kita dapat lihat pemain muda, siapa dapat siap untuk masuk pasukan negara untukPiala Thomas dan Piala Uber di Horsens, Denmark pada April,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Skuad lelaki negara diundi dalam Kumpulan D bersama Indonesia dan Myanmar, dengan Indonesia dijangka menjadi pencabar paling sengit manakala skuad wanita pula diundi dalam Kumpulan W bersama China.
Skuad wanita mudah melangkah ke peringkat kalah mati susulan hanya dua pasukan dalam kumpulan berkenaan, dan dijangka tidak berdepan China pada suku akhir.
Malaysia pernah muncul juara BATC pada 2022 di Shah Alam dan muncul naib juara pada edisi 2024, juga di Shah Alam, manakala pencapaian terbaik pasukan wanita adalah mara ke separuh akhir pada 2020 dan 2022.
-- BERNAMA