DUNIA

Uzbekistan Beri Subsidi US$100 Kepada Operator Pelancongan Bagi Setiap Pelancong Malaysia, Indonesia

17/01/2026 06:53 PM

KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) -- Kerajaan Uzbekistan akan menyediakan subsidi sebanyak US$100 bagi setiap pelancong Malaysia atau Indonesia kepada operator pelancongan tempatannya dalam usaha menarik pelawat dari kedua-dua negara itu di bawah program "Umrah Plus".

Negara Asia Tengah itu menyasarkan untuk mengalu-alukan kedatangan 100,000 pelancong dari Malaysia dan Indonesia pada 2026 dan 2027.

Dalam satu kenyataan pada Sabtu, Kedutaan Uzbekistan di Malaysia memaklumkan bahawa program itu memerlukan pelancong Malaysia atau Indonesia untuk transit di Uzbekistan selama beberapa hari sebelum meneruskan perjalanan mereka bagi menunaikan umrah di Arab Saudi.

Menurut portal berita dalam talian Uzbekistan, Daryo, skim itu dijangka dimuktamadkan dalam tempoh dua minggu.

Kerajaan Uzbekistan juga sedang berusaha mewujudkan lebih banyak laluan penerbangan terus antara bandar-bandar utama di Malaysia, Indonesia, Uzbekistan dan Arab Saudi bagi memastikan kesalinghubungan udara yang lebih baik serta pengalaman perjalanan lebih lancar kepada pelawat.

Kedutaan itu turut menyatakan bahawa sektor pelancongan dan kebudayaan telah menjadi antara bidang perkongsian utama antara Uzbekistan dan Malaysia.

“Terdapat potensi besar untuk memperluas hubungan dalam sektor pelancongan, yang akan membawa manfaat ekonomi dan menggalakkan pertukaran budaya antara negara.

“Kedua-dua negara tergolong dalam dunia Islam dan amat berbangga dengan warisan budaya Islam yang dikongsi bersama. Bandar-bandar bersejarah di Uzbekistan seperti Samarkand, Bukhara dan Khiva merupakan pusat budaya dan pembelajaran Islam purba,” menurut kenyataan itu.

Kedutaan itu memaklumkan bahawa dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Uzbekistan giat berusaha mewujudkan infrastruktur mesra Muslim, termasuk ruang solat baharu serta hotel dan restoran halal.

Jawatankuasa Pelancongan Uzbekistan juga sedang mempelajari amalan terbaik daripada Pusat Pelancongan Islam Malaysia di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk membangunkan pengalaman pelancongan dan hospitaliti mesra Muslim.

Pada masa hadapan, pelancongan gastronomi dan pelancongan musim sejuk Uzbekistan dijangka semakin popular dalam kalangan rakyat Malaysia, termasuk golongan muda.

Pada masa ini, Uzbekistan Airways, Batik Air dan AirAsia mengendalikan penerbangan terus lapan kali seminggu bagi laluan Kuala Lumpur–Tashkent–Kuala Lumpur dan Langkawi–Tashkent–Langkawi.

Rakyat kedua-dua negara juga layak menikmati lawatan tanpa visa sehingga 30 hari, menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2513608