JAKARTA, 17 Jan (Bernama) -- Sebanyak 33.2 peratus daripada keseluruhan petugas haji Indonesia pada tahun ini terdiri daripada golongan wanita, sebagai langkah untuk meningkatkan keselesaan jemaah wanita sepanjang berada di Tanah Suci.
Timbalan Menteri Haji dan Umrah Indonesia, Dahnil Anzar Simanjuntak berkata, jumlah itu melepasi sasaran awal kementerian iaitu sebanyak 30 peratus, lapor agensi berita ANTARA.
Beliau berkata peningkatan peratusan itu mencerminkan profil demografi jemaah haji Indonesia yang mana majoritinya adalah golongan wanita.
Dahnil menjelaskan kehadiran petugas wanita amat penting bagi menyediakan perkhidmatan yang lebih berperikemanusiaan, selesa dan patuh syariah, terutamanya dalam perkara yang bersifat peribadi serta konsultasi agama.
"Kami mahu menyediakan tindakan afirmatif untuk golongan wanita memandangkan sebahagian besar jemaah haji kami adalah wanita," katanya di sini pada Sabtu.
Beliau berkata kehadiran petugas wanita turut membawa sentuhan naluri keibuan dan sifat keprihatinan yang sangat diperlukan oleh jemaah wanita yang berada jauh daripada keluarga masing-masing.
Menurut Dahnil, nisbah petugas wanita akan terus dinilai dari semasa ke semasa bagi memastikan ia kekal seimbang dengan jumlah jemaah haji lelaki dan wanita.
-- BERNAMA