KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) -- Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan menggesa Amerika Syarikat (AS) dan Iran supaya bertenang serta menggunakan mekanisme dua hala dan pelbagai hala sedia ada, susulan peningkatan ketegangan ekoran kekacauan di Iran.
Beliau berkata sebarang peningkatan konflik akan amat membimbangkan serta menjejaskan kestabilan global, selain memberi implikasi serius terhadap ekonomi dunia.
“Malaysia sebagai anggota komuniti antarabangsa yang bertanggungjawab percaya bahawa sebarang langkah yang boleh meningkatkan ketegangan adalah tidak baik sama sekali.
Kami tidak mahu (peningkatan konflik) berlaku kerana banyak negara akan menderita, bukan sahaja di Timur Tengah,” katanya ketika ditemui di luar Perhimpunan Agung UMNO 2025 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini pada Sabtu.
Mohamad turut berharap agar AS mempertimbangkan tindakannya dengan teliti bagi mengelakkan konflik serantau yang lebih luas, yang berpotensi mencetuskan perang dunia ketiga jika tidak dikendalikan dengan berhati-hati.
Sementara itu, Menteri Luar berkata Malaysia sedang memantau rapi prosiding di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda, yang mula mendengar kes penting itu pada 12 Jan lepas.
Kes berkenaan dibawa oleh Gambia yang menuduh Myanmar melakukan genosid terhadap etnik Rohingya, kumpulan minoriti Islam di negara itu.
Beliau berkata pendirian Malaysia sebagai anggota ASEAN kekal jelas dan konsisten dengan menggesa agar kekejaman di Myanmar dihentikan serta-merta.
“Pendirian ASEAN sangat jelas, kami mahu kekejaman di Myanmar dihentikan. Berhenti membunuh rakyat sendiri... duduk berbincang dan bawa semua pihak serta pihak berkepentingan bersama-sama, supaya anda boleh berfikir bersama untuk mewujudkan sebuah negara Myanmar yang bersatu,” katanya.
-- BERNAMA