DUNIA

Konsulat Jeneral Gesa Warga China Di Minnesota Waspada Dengan Keselamatan Mereka

17/01/2026 06:58 PM

LOS ANGELES, 17 Jan (Bernama-Xinhua) -- Konsulat Jeneral China di Chicago pada Jumaat mengeluarkan notis menggesa warga negaranya di negeri Minnesota, Amerika Syarikat (AS), supaya meningkatkan kesedaran keselamatan dan mengambil langkah berjaga-jaga, lapor Xinhua.

"Operasi penguatkuasaan undang-undang sedang dijalankan di beberapa kawasan di Minnesota," menurut notis itu yang turut mengingatkan warga China supaya "sentiasa mengikuti pengumuman rasmi dan laporan media, membawa dokumen pengenalan diri yang sah pada setiap masa, serta kekal berwaspada."

Notis itu juga menasihatkan mereka agar menjauhi kawasan perhimpunan, lokasi tumpuan ramai atau kawasan kejiranan yang mempunyai tahap keselamatan awam yang lemah, selain mengelak daripada keluar bersendirian atau melakukan perjalanan pada waktu malam.

Pada 7 Jan lepas, seorang ejen Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) AS menembak mati seorang wanita tempatan berusia 37 tahun, Renee Nicole Good, dalam satu operasi menyasarkan pendatang tanpa izin di Minneapolis, bandar terbesar di Minnesota.

Insiden tembakan maut itu telah meningkatkan ketegangan di bandar berkenaan dan mencetuskan protes besar-besaran di seluruh negara.

Ketika protes terus memuncak di Minneapolis pada Jumaat, Presiden AS Donald Trump mendakwa pihak berkuasa tempatan telah "hilang kawalan sepenuhnya" dan memberi gambaran bahawa beliau mungkin "terpaksa bertindak".

-- BERNAMA-XINHUA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2513613