KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa parti itu kekal mendukung Kerajaan Perpaduan meskipun menerima tawaran kerjasama politik daripada pihak lain.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata UMNO tetap berpegang kepada prinsip serta komitmen yang telah dipersetujui dalam pembentukan kerajaan, demi memastikan kestabilan politik dan kesejahteraan negara.
“Memang ada tawaran yang terhidang, memang ada yang datang merisik dan ada juga yang cuba meminang, namun sehingga hari ini UMNO kekal melaksanakan amanah kepada negara dengan terus mendukung Kerajaan Perpaduan.
“Selagi asas kenegaraan dihormati, tidak ada perkara yang dimungkiri. Keikhlasan tidak dikhianati dan UMNO akan terus memainkan peranannya dengan penuh rasa tanggungjawab,” katanya dalam ucapan dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2025, di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata meskipun terdapat desakan dalaman agar UMNO menarik diri daripada kerajaan, kepimpinan parti mengambil pendirian berpaksikan kepentingan negara serta kemaslahatan ummah, mengatasi pertimbangan politik sempit.
Pada 5 Jan lepas, beliau menegaskan bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan terus kekal bersama Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal pentadbiran, walaupun terdapat gesaan daripada sayap Pemuda supaya parti itu keluar daripada kerajaan.
Ahmad Zahid dalam ucapannya turut mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepimpinan cemerlang memimpin negara.
Beliau berkata, sepanjang 38 bulan pemerintahan ini, negara mencatat pengukuhan ekonomi dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang mampan, ringgit mengukuh, dan Pelaburan Langsung Asing meningkat.
Selain itu, pengangguran menurun, kadar kemiskinan berkurangan, dan pelbagai bantuan disalurkan kepada rakyat.
Ahmad Zahid berkata, agenda pendidikan turut diperkasakan melalui Agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara yang menawarkan gaji lebih tinggi kepada golongan muda. Malaysia juga mengukuhkan kedudukan di peringkat antarabangsa melalui peranan aktif membela nasib Palestin serta kejayaan menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN.
“Saya percaya, asbab kepada semua pencapaian ini adalah hasil sokongan dan kestabilan politik yang dibawa oleh UMNO,” katanya.
-- BERNAMA