POLITIK

Ucapan Dasar Presiden Buka Dimensi Baharu Hala Tuju Perjuangan UMNO

16/01/2026 06:20 PM

KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Ucapan dasar Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO 2025 hari ini, dilihat membuka dimensi baharu hala tuju perjuangan parti dengan penekanan kepada aspek keterbukaan pemikiran serta pendekatan politik berteraskan rundingan dan musyawarah nasional.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata Presiden UMNO bukan sahaja menggesa ahli parti supaya bersatu, malah membuka ruang kepada mana-mana orang Melayu untuk bersama-sama membawa dan membina pembaharuan dalam parti berkenaan.

“Mengambil kira bahawa negara ini telah merdeka 68 tahun, harapan rakyat Melayu khususnya telah banyak berubah dan dalam masa hampir lapan dekad (usia UMNO) ini, sudah tentu satu perubahan yang amat besar perlu kita ambil dan mengambil kira pandangan-pandangan generasi muda ini. 

“Kalau tidak, UMNO akan ketinggalan,” katanya kepada pemberita usai ucapan itu, di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini.

Johari yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) itu berkata perubahan besar perlu dilakukan dalam UMNO selari dengan pemikiran baharu masyarakat Melayu masa ini yang semakin berbeza berbanding era awal kemerdekaan.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata ucapan dasar berkenaan memperlihatkan kesediaan Presiden UMNO membuka ruang kepada semua pihak untuk bersama-sama parti itu memikirkan soal kepentingan Islam dan Melayu di negara ini.

“Ucapan dasar hari ini membawa dimensi baharu kepada perjuangan UMNO, Presiden secara terbuka telah membuka pintu seluas-luasnya untuk kita bersama-sama memikirkan tentang Islam dan Melayu di Malaysia ini,” katanya.

Beliau berkata pendekatan itu petanda amat positif, sekali gus menangkis persepsi segelintir pihak yang sebelum ini melihat UMNO sebagai sebuah parti tertutup.

“Dengan penjelasan atau gagasan dan idea yang diberikan (Presiden), ini satu hala tuju yang sangat baik untuk UMNO,” katanya.

Seorang lagi MT UMNO Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican pula menyifatkan ucapan dasar kali ini sarat dengan mesej dan sudut pandangan yang mendalam.

Beliau berkata ucapan berkenaan padat dengan sudut pandangan yang luar biasa, khususnya penekanan terhadap konsep musyawarah nasional yang disifatkan sebagai isyarat paling jelas mengenai perubahan landskap politik negara.

“Suatu perkara yang saya tertarik adalah tentang yang boleh disebut sebagai musyawarah nasional. Musyawarah nasional itu signal yang paling kuat untuk difahami oleh semua bahawa ini dinamika politik yang baharu,” katanya.

Beliau berkata dinamika politik baharu itu tidak lagi berlandaskan dominasi kuasa, sebaliknya keupayaan berunding sebagai alat sebenar dalam senario politik semasa.

“Dinamika politik baharu ini, landasannya ialah satu, iaitu rundingan. Alat-alat sebenar politik, senario politik sekarang, bukanlah untuk menjadi dominan, bukanlah untuk menjadi nombor terakhir, ia tentang kemampuan anda untuk berunding,” katanya.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Jawatankuasa Pintu Rumah Bangsa yang diumumkan Ahmad Zahid dalam ucapan dasar akan membuka ruang penyatuan,  merapatkan jurang perbezaan dan menyatukan kembali kekuatan politik Melayu termasuk membawa masuk  kembali mereka yang berada di luar parti itu.

“Dalam keadaan hari ini, penyatuan ummah Melayu amat penting bagi memastikan kedudukan agama dan bangsa tidak terancam,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata UMNO perlu bangkit daripada nostalgia kegemilangan lepas dan menerima realiti politik semasa bahawa sokongan orang Melayu kepada parti itu kini dianggarkan hanya kira-kira 28 peratus.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2513230