AM

Bidang Kuasa Diperuntuk Kepada Mahkamah Syariah Wajar Dikaji, Diteliti - Raja Muda Perlis

16/01/2026 06:13 PM

KANGAR, 16 Jan (Bernama) -- Bidang kuasa yang diperuntukkan kepada Mahkamah Syariah melalui Perlembagaan Persekutuan wajar dikaji dan diteliti dari semasa ke semasa agar pelaksanaannya dapat dimaksimumkan tanpa melangkaui kerangka Perlembagaan yang ditetapkan.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah dalam konteks itu, perkara berkaitan prosedur jenayah termasuk isu bidang kuasa tahanan reman oleh Mahkamah Syariah perlu diberikan perhatian dan dibuat kajian menyeluruh bagi meneliti sama ada terdapat ruang dan keperluan untuk ia dilaksanakan dalam sistem kehakiman syariah pada masa ini.

“Mahkamah Syariah perlu sentiasa peka terhadap bidang kuasa sedia ada, khususnya dalam bidang kuasa jenayah syariah bagi memastikan kuasa kehakiman dapat dilaksanakan dengan lebih kemas dan berkesan.

“Pemantapan bidang kuasa jenayah syariah adalah satu keperluan penting dalam usaha memperkukuhkan peranan Mahkamah Syariah sebagai institusi keadilan yang berwibawa, selari dengan keperluan semasa serta perkembangan sistem perundangan negara,” titah baginda dalam kenyataan Istana Arau hari ini.

Kenyataan itu memberitahu Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian selepas baginda berkenan berangkat mengetuai Program MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sekitar Kangar baru-baru ini.

Sementara itu, kenyataan itu memaklumkan kayuhan amal itu bukan sekadar sebuah aktiviti riadah malah berkembang sebagai satu jenama ikonik di Negeri Perlis yang menggabungkan elemen sukan, dakwah dan kebajikan menerusi satu pendekatan menyeluruh bagi mendekati masyarakat.

“Berbeza dengan kaedah penyampaian bantuan secara konvensional yang lazimnya memerlukan pemohon hadir ke pejabat, Program Kayuhan MAIPs Peduli mengetengahkan pendekatan turun padang dengan membawa MAIPs bersama ketua-ketua agensi serta jabatan di peringkat negeri dan Persekutuan mengunjungi sendiri kediaman rakyat.

“Pendekatan ini membolehkan pihak berkenaan menyelami realiti kehidupan golongan asnaf serta mereka yang kurang bernasib baik dengan lebih dekat, menyeluruh dan berkesan,” menurut kenyataan itu.

Sempena program itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Yang Dipertua MAIPs turut berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan agihan zakat MAIPs kepada Ku Maznah Ku Mat, 67, dari Kampung Titi Tok Bandar; Ahmad Suhaimi Husin, 67, (Kampung Hutan Melintang) serta Talib Ali, 74, (Kampung Panggau).

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2513254