AM

Penerima SARA Kategori Bujang Di Sabah Hargai Bantuan, Tampung Belanja Keperluan Asas

16/01/2026 06:14 PM

TAWAU, 16 Jan (Bernama) -- Jumlah bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bulanan bagi kategori bujang yang dikreditkan hari ini mungkin kecil bagi sesetengah individu, namun membawa makna besar bagi penerimanya di Sabah, khususnya bagi menampung belanja keperluan asas harian.

Seorang penerima Mohd Awil Hamsani, 40, berkata bantuan RM50 sebulan itu membantunya membeli barang keperluan, misalnya makanan seperti roti serta biskut selain barang penjagaan diri.

“Saya bekerja sebagai penghantar barang, pendapatan tidak menentu dan dengan adanya SARA yang dibayar pada pertengahan bulan ini, ia boleh menampung membeli sedikit barang keperluan sendiri.

“Selain itu, dengan penyaluran bantuan ini setiap bulan menerusi Mykad, saya tidak perlu ke bank untuk mengeluarkan wang, sebaliknya boleh terus berbelanja dengan menggunakan MyKad, jimat masa,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Seorang lagi penerima Mohd Zarif Baili, 39, dari Bandar Sri Indah juga senada dengan Mohd Awil dan bersyukur kerana bantuan SARA disalurkan menerusi MyKad memudahkan Orang Kurang Upaya (OKU) sepertinya.

“Selepas kemalangan lapan tahun lepas, kaki kanan saya terpaksa dipotong sehingga terpaksa memakai kaki palsu, jadi pergerakan itu sedikit terbatas dan cepat lelah apabila bergerak lama atau jauh.

“Apabila bantuan bulanan SARA dikreditkan terus ke Mykad, ini menyenangkan saya dan bantuan ini saya gunakan untuk membeli barang penjagaan diri atau makanan untuk di rumah,” katanya.

Nazrini Badarun, 40, dari Felda Umas pula berkata bantuan yang kerajaan salurkan itu umpama bonus setiap bulan yang boleh digunakan untuk menampung kehidupan.

“Nilai kecil, tetapi saya bersyukur dengan ‘bonus’ ini. Bantuan ini boleh menampung di saat memerlukan,” katanya.

Kementerian Kewangan dalam hantaran di media sosial memaklumkan SARA bulanan untuk kategori bujang mula dikreditkan kepada 3.1 juta penerima bermula hari ini yang boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan asas di pasar raya dan kedai terpilih di seluruh negara.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2513259