AM

Sunway Pyramid 'Melangkah Pantas Menuju Kemakmuran’ Sempena Tahun Kuda

16/01/2026 06:34 PM

KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Sunway Pyramid melancarkan sambutan Tahun Baharu Cina bertema Galloping Into Prosperity, menampilkan persembahan kebudayaan, pemasangan interaktif serta  pelbagai ganjaran untuk pengunjung sempena Tahun Kuda.

Kempen perayaan itu mengetengahkan kepentingan pertemuan keluarga dan detik kebersamaan yang sinonim dengan Tahun Baharu Cina, dengan gabungan elemen tradisional dan moden di ruang legar utama pusat beli-belah berkenaan.

Tarikan utama ialah tanglung karusel berputar bersaiz besar dikenali sebagai Zǒu Mǎ Dēng, menampilkan enam figura kuda berlari berwarna-warni hasil rekaan pensyarah seni dari Sunway University, yang melambangkan kegembiraan dan tuah bagi tahun mendatang.

Pengunjung juga berpeluang menyertai pelbagai aktiviti interaktif seperti meramal nasib di Fortune House of Blessings serta merakam detik perayaan di Lanternlight Photobooth.

Pengurus Besar Kanan Sunway Pyramid, Sunway Giza dan Sunway Square, Jason Chin berkata Tahun Kuda melambangkan kekuatan, momentum dan kemajuan, sejajar dengan fokus pusat beli-belah itu terhadap pertumbuhan dan penglibatan komuniti.

“Nilai-nilai ini amat seiring dengan pendekatan Sunway Pyramid ketika kami terus memperkasa dan menambah baik pusat beli-belah ini bagi memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada komuniti.

“Sempena menyambut Tahun Baharu Lunar, kami berbesar hati dapat menjadi sebahagian daripada detik perayaan ini, di mana tradisi terus dipelihara dan kenangan baharu dicipta,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada tahun ini, Sunway Pyramid turut menambah dimensi baharu kepada sambutan dengan menjalin kerjasama bersama pencipta kandungan keluarga, The Kuans.

Buat julung kalinya, set video muzik Tahun Baharu Cina The Kuans dihasilkan semula di beberapa lokasi sekitar pusat beli-belah itu, sekali gus menyemarakkan lagi suasana perayaan.

Melalui cabutan bertuah, Keluarga Kuan turut memilih peserta yang merakam dance cover mana-mana lagu Tahun Baharu Cina 2026 nyanyian The Kuans di checkpoint terpilih untuk memenangi hadiah eksklusif, termasuk angpow Keluarga Kuan.

Sambutan turut dimeriahkan dengan persembahan tarian singa akrobatik dan gendang pada hujung minggu serta cuti umum terpilih, selain bazar perayaan dan gerai pop-up yang menawarkan hidangan bermusim serta hamper perayaan.

Pengunjung juga boleh menikmati Prosperous Redemptions, di mana pembelian yang layak boleh ditukar dengan ganjaran perayaan.

Maklumat lanjut mengenai sambutan, promosi dan aktiviti Tahun Baru Cina Sunway Pyramid boleh didapati di laman web rasmi www.sunwaypyramid.com serta platform media sosial @sunway_pyramid.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2513248